Sudah menjadi lumrah kita sebagai manusia untuk melakukan dosa, dan jika bertanya pada mereka yang mengaku sarat dengan dosa tentang hasrat mereka setelah mati, kebanyakan mereka pasti akan menjawab mereka mahu ke syurga.
Kita juga sering terlupa dengan dosa-dosa yang kita telah lakukan sehingga menyebabkan terlalu mudah lidah kita berkata ‘tuhan tak akan ampunkan kau’, atau ‘banyaknya dosa kau, kau tak nak taubat ke?’ Menyedari lambakan dosa yang kita miliki merupakan satu rahmat kerana kita boleh memohon diampunkan tuhan atas kesalahan yang telah kita lakukan.
Saya juga percaya kebanyak orang yang melakukan dosa juga mempunyai tahap-tahap tersendiri, ada yang melakukan dosa kerana terpaksa, ada yang melakukan dosa dalam keadaan serba salah dan ada yang melakukan dosan dengan rasa bongkak.
Saya yakin saya memiliki dosa yang banyak, dan tulisan ini saya gunakan sebagai motivasi untuk cuba berubah secara perlahan-lahan, moga-moga tuhan menerima dan membantu saya untuk menjadi seorang muslim yang berguna.
Allah Maha Pengampun
Memiliki dosa terhadap individu lain adalah lebih sukar berbanding memiliki dosa terhadap tuhan. Apabila kita melakukan dosa dan kezaliman terhadap manusia, sudah menjadi kewajiban untuk kita memohon maaf kepadanya dan jika kita pernah menzalimi orang tersebut, perlulah dipulangkan hak-haknya semula.
Manusia adalah makhluk yang beremosi dan cenderung untuk menerbitkan rasa dendam, menyebabkan mereka sukar untuk memaafkan orang yang telah berlaku zalim kepada mereka. Mudah-mudahan kita semua belajar untuk tidak menzalimi sesiapa dan memaafkan orang-orang yang pernah menzalimi kita jika dia benar-benar ingin berubah.
Berdosa dengan tuhan pula perlu memohon pengampunan daripada tuhan secara terus. Salah satu kelebihan agama Islam yang paling nyata adalah kita tidak memerlukan perantara atau orang ketiga untuk memohon kepada tuhan. Bila masa-masa, di mana-mana tempat, seorang hamba boleh terus mengadu kepada tuhan tanpa memerlukan apa-apa sekatan atau birokrasi. Kita pula seharusnya yakin bahawa tuhan itu maha pengampun dan berusaha untuk tidak mengulangi dosa-dosa yang kita pernah lakukan di masa silam.
“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (QS. Az Zumar: 53-54).
Jangan sesekali pernah terlintas di hati kita bahawa rahmat tuhan telah habis terhadap kita. Pengampunan tuhan sentiasa ada hamba-hambanya yang betul-betul ingin bertaubat. Percayalah, setiap kali seorang hamba datang kepada tuhan dengan keadaan yang betul-betul ingin bertaubat dan menyesali semua dosa silam yang dia telah lakukan, maka tuhan akan memberi pengampunan kepada hamba tersebut.
Atas sebab inilah saya menyatakan berdosa dengan manusia memerlukan proses yang lebih rumit jika dibandingkan dengan dosa terhadap tuhan, kerana tuhan maha pengampun. Saya bukan ingin memberi galakkan untuk anda melakukan dosa, tetapi saya ingin memberikan diri saya dan anda motivasi untuk sentiasa memohon keampunan tuhan apabila telah melakukan dosa.
“Maka mengapa mereka tidak bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya ?. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS. Al Maidah: 74)
Jangan beri gambaran yang salah
Perkembangan teknologi yang semakin pesat telah menimbulkan satu masalah apabila hampir semua orang mahu menjadi mufti, dan lebih teruk lagi, sudah ada manusia yang mahu mengambil kerja tuhan dengan menghukum neraka kepada pendosa.
Sikap bengis yang ada pada mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai wakil tuhan telah menyebabkan ramai hamba tuhan yang sudah terlanjur melakukan dosa yang banyak untuk kembali kepada tuhan. Akibat sikap bengis dan menghukum wakil tuhan ini, pada pendosa merasakan diri mereka tidak akan diampuni oleh tuhan dan telah tersedia tiketnya untuk ke neraka.
Ini menyebabkan mereka kehilangan motivasi untuk bertaubat, dan terus melakukan dosa kerana merasakan neraka sudah tersedia untuk dia. Padahal setiap hamba berpeluang untuk kembali kepada tuhan jika dia benar-benar ingin berubah. Seorang ustaz yang bernama Al-Ustadz Yazid bin ‘Abdul Qadir Jawas pernah menulis tentang sebuah hadis tentang pengampunan tuhan, hadis itu berbunyi;
Dari Anas bin Mâlik Radhiyallahu anhu ia berkata, “Aku mendengar Rasûlullâh Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Allâh Azza wa Jalla berfirman, ‘Hai anak Adam! Sesungguhnya selama engkau berdoa dan berharap hanya kepadaKu, nescaya Aku mengampuni dosa-dosa yang telah engkau lakukan dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam ! Seandainya dosa-dosamu setinggi langit, kemudian engkau meminta pengampunan kepadaKu, nescaya Aku mengampunimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam ! Jika engkau datang kepadaku dengan membawa dosa-dosa yang hampir memenuhi bumi kemudian engkau bertemu denganKu dalam keadaan tidak mempersekutukanKu dengan sesuatu pun, nescaya Aku datang kepadamu dengan memberikan ampunan sepenuh bumi.”
[HR. at-Tirmidzi, dan beliau berkata: Hadits ini hasan shahih]Perkara yang paling penting untuk dilakukan oleh kita sebagai pendosa adalah menyegerakan taubat kerana kita bimbang tidak ajal mendahului taubat kita. Moga-moga kita semua dapat bertaubat sebelum menemui ajal. Allah berfirman;
“Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepada-Nya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi).” (QS. Az Zumar: 53-54).
Kesimpulan
Sentiasa ada rahmat Allah kepada kita yang melakukan dosa apabila kita kembali kepada tuhan dalam keadaan yang benar-benar ingin bertaubat. Apabila telah telanjur melakukan dosa terhadap hamba tuhan yang lain, mohonlah maaf daripada mereka dan pulangkanlah hak-hak mereka. Akhir sekali, segerakanlah taubat, kerana ajal tidak menunggu taubat kita.
www.indahnyaislam.my