Tak berperikemanusiaan! PEMBELA kutuk serangan Israel di Masjid al-Aqsa

 

BANGI – Pertubuhan-Pertubuhan Islam Pembela (PEMBELA) mengutuk sekeras-kerasnya serangan biadab rejim pengganas Israel ke atas umat Islam di Masjid al-Aqsa, baru-baru ini.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, serangan itu telah mencederakan ratusan rakyat Palestin yang sedang berkumpul termasuk wanita dan kanak-kanak di dalam perkarangan masjid, yang juga kiblat pertama umat Islam.

Lebih teruk, Aminuddin berkata, serangan rejim Zionis itu turut membabitkan jemaah di dalam masjid yang sedang menunaikan solat.

Malah, katanya, para jemaah dan penduduk Palestin yang berlindung di dalam masjid itu turut ditahan oleh rejim Zionis.

“Ketegangan semakin memuncak ekoran pertengkaran hampir setiap hari bermula dengan ancaman Zionis Israel terhadap pengusiran penduduk Palestin dari rumah dan tanah milik mereka termasuk tangkapan beberapa rakyat Palestin serta serangan yang dilancarkan ke atas perkampungan Sheikh Jarrah.

“Tindakan yang sangat tidak berperikemanusiaan ini mengguris perasaan umat Islam di seluruh dunia lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadat di penghujung bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, penduduk Palestin melakukan bantahan apabila Mahkamah Israel meluluskan keputusan untuk mengusir tujuh keluarga Palestin dari kediaman mereka dan memihak kepada penduduk haram Yahudi pada awal tahun ini.

Bantahan itu mengakibatkan pertempuran antara penduduk Palestin di Baitulmaqdis dan polis Israel di kejiranan Sheikh Jarrah.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, lebih 205 orang cedera dalam serangan Israel ke atas Masjid al-Aqsa dan kejiranan Sheikh Jarrah.

Di dalam Masjid al-Aqsa, polis Israel melepaskan tembakan peluru getah, gas pemedih mata dan bom tangan ke arah penduduk Palestin, di mana para jemaah termasuk wanita dan kanak-kanak sedang menunaikan solat pada hari Jumaat terakhir ketika bulan Ramadan.

Media melaporkan, dalam pertempuran itu juga, rakyat Palestin yang melakukan tunjuk perasaan hanya membaling botol plastik ke arah polis Israel.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pihaknya mengajak umat Islam supaya memanjatkan doa serta bermunajat kepada Allah SWT demi keselamatan dan kesejahteraan umat Islam di Palestin, selain bersama-sama meneruskan bantahan sebagai solidariti bersama saudara semuslim di sana.

“PEMBELA ingin menggesa kerajaan Malaysia meminta tindakan tuntas oleh OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), Liga Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) demi membela mangsa kekejaman dan kebiadapan rejim Zionis Israel yang dilakukan di tempat dan di bulan yang mulia ini,” katanya. -Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts