BAITULMAQDIS – Tembakan peluru getah, gas pemedih mata dan bom tangan sama sekali tidak menggentarkan jiwa umat Islam di Palestin untuk mengerjakan solat tarawih di Masjid al-Aqsa.
Malah, jumlah mereka yang menghadirkan diri untuk menyempurkan solat sunat berkenaan di masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu mencecah puluhan ribu.
Agensi berita Al Jazeera melaporkan, dianggarkan 90,000 umat Islam berkumpul di Masjid al-Aqsa bagi bersolat tarawih bersama-sama.
Mereka yang hadir datang daripada segenap usia sama ada warga emas, golongan muda termasuk kanak-kanak.
Kelmarin, Israel meningkatkan kawalan setelah berlakunya pertempuran yang mengakibatkan lebih daripada 200 penduduk Palestin tercedera.
Dalam kejadian itu, polis Israel melepaskan tembakan peluru getah, gas pemedih mata dan bom tangan ke arah penduduk Palestin di dalam Masjid al-Aqsa, di mana para jemaah termasuk wanita dan kanak-kanak sedang menunaikan solat pada hari Jumaat terakhir ketika bulan Ramadan.
Media melaporkan, dalam pertempuran itu, rakyat Palestin yang melakukan tunjuk perasaan hanya membaling botol plastik ke arah polis Israel.
Sebaliknya, polis Israel melepaskan bom tangan dan air sampah yang berbau busuk.
“Kami juga melihat beberapa pergaduhan di mana orang-orang diseret ke tanah dan dipukul oleh polis Israel,” lapor media.
Pada masa sama, Israel bertindak merancang pengusiran penduduk Palestin di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis.
Rancangan itu mendapat kecaman dari dunia Arab termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman. – Agensi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)