KOTA BHARU: Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad, menyifatkan adalah tidak wajar kepada umat Islam untuk menghadiri konsert yang boleh menimbulkan kemaksiatan.
Beliau berkata, konsert yang tidak menimbulkan kemaksiatan adalah konsert yang mengingati Allah SWT dan dibenarkan syarak.
“Apabila hadir ke sesebuah konsert, ia sepatutnya akan lebih mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan merasakan kita adalah hambaNya.
“Namun sekiranya kita hadir dan lupa kepada diri serta Allah SWT, maka ia tidak diizinkan. Kita sembahyang pun ingat kepada Allah, jadi konsert pun biarlah konsert yang mendekatkan diri kepadaNya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Malaysia #QuranHour di Masjid Muhammadi, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, tidak timbul isu sama ada individu itu daripada tahfiz atau tidak, memakai jubah, serban serta bersongkok sekiranya tempat yang dihadiri tidak menjurus kepada kemaksiatan.
“Bagaimanapun sekiranya individu itu daripada tahfiz atau tidak, memakai jubah, serban serta bersongkok dan mereka hadir ke tempat maksiat, maka itu adalah tetap satu kesalahan. Rukun Islam tidak ada ‘double standard,” katanya.
Sebelum ini, kecoh mengenai sekumpulan pelajar tahfiz yang diundang ke konsert Kepci Music Fest di Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu.
Ramai yang mempertikaikan tindakan menjemput pelajar berkenaan yang dianggap tidak sesuai untuk menghadiri acara hiburan sebegitu.
Video tular di media sosial menunjukkan sekumpulan remaja pelajar tahfiz merupakan antara pengunjung yang menyaksikan konsert tersebut. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM