“Saya khatam al-Quran masa umur 12 tahun tapi tak mampu nak bacanya depan Kaabah ketika menunaikan umrah pertama pada 2001,” kata selebriti yang pernah popular suatu ketika dulu iaitu Shamsul Azahar Aliddin, 48, atau lebih dikenali dengan panggilan Shamsul Ghau-Ghau.
Shamsul berkata, ketika itu dia sebak dan sedih hingga tidak mampu menahan air matanya daripada mengalir.
“Saya fikirkan apa akan terjadi sekiranya saya mati nanti atau sekiranya ibu saya sakit, mampukah saya membacakan al-Quran buatnya?
“ALLAH SWT mudahkan rezeki saya, bermula gaji RM300 sebulan semasa kerja sebagai polis sehingga pernah mendapat RM100,000 sebulan sebagai artis walaupun hanya ada SPM, tapi hati saya jauh dari-Nya,” kongsinya di hadapan kira-kira 300 penonton terdiri kakitangan hospital sewaktu program Quran Hour yang diadakan di Hospital Sungai Buloh, Khamis lalu.
Menurutnya, beliau tidak menganggap kesilapan lalu adalah detik hitam, sebaliknya ia adalah pembuka jalan baginya untuk memperbaiki dirinya sekarang.
Enggan menoleh ke belakang, beliau kini giat berdakwah berkongsi pengalaman hidupnya bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat.
“Saya berpeluang menunaikan umrah pertama pada 2001 bersama rakan-rakan dan berdoa empat benda yang tak mungkin saya lupakan.
“Doa pertama saya nak kahwin, kemudian ada anak, ketiganya mahu ada rumah depan masjid dan keempat dibuka hati untuk mengaji serta mendekatkan diri dengan ALLAH SWT.
“Alhamdulillah, pada 2003 saya berkahwin dan dikurniakan anak setahun kemudiannya. Pada 2006 semasa beli rumah ditakdirkan lokasinya betul-betul depan masjid,” katanya.
Beliau berkata, walaupun diberikan jalan, namun disebabkan kesibukan kerja dan jadual harian masanya untuk ke masjid terbatas.
“Setiap hari saya dengar rakaman surah Ar-Rahman yang dipasang di masjid sebelum masuknya waktu Maghrib sampai sudah menghafalnya serba sedikit tapi tak tahu maksudnya.
“Ditakdirkan pada satu hari saya pergi ke kedai buku dan semasa membelek buku tafsir al-Quran, bukaan saya betul-betul pada surah Ar-Rahman yang salah satu maksudnya berbunyi, ‘nikmat mana satu yang engkau dustakan’,” katanya.
Menurutnya, ketika itu hatinya sebak dan teringat akan janji yang tidak dipenuhinya untuk mengaji semula serta mendalami agama.
“Sekarang saya berguru dengan tiga ustaz yang mengajar tajwid, taranum dan tafsir. Kita hidup sudah berpuluh tahun tapi kita tak tahu maksud bacaan dalam solat kita.
“Saya berharap perubahan ini dapat melapangkan kubur mak ayah saya yang sudah tiada. Saya tak menolak perubahan saya hari ini adalah hasil doa arwah mak saya yang tak jemu memberi nasihat semasa hayatnya,” katanya.
Beliau berharap, usahanya ke depan berkongsi pengalaman hidup atas tiket artis dapat menarik lebih ramai orang untuk berubah menjadi lebih baik.
“Al-Quran itu perlu dibaca, difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Cuba tanya diri kita dalam sehari berapa banyak kita pegang al-Quran berbanding telefon pintar?
“Saya bukan mahu buka aib diri saya, sebaliknya mahu mengajak lebih ramai orang Islam mendekati ALLAH dan memberikan pahala kepada mak ayah saya yang sudah tiada,” katanya.
Program di bawah Rumah Ngaji ini bertemakan Ibrah Ujian Kesabaran Nabi Ayob turut mengundang penceramah, Mohd Asraff Ayob Al-Hafiz.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff berkata, program tersebut adalah persiapan menjelang Malaysia Ngaji yang bakal diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya, 29 Jun ini.
“Kita alu-alukan penyertaan semua untuk bersama-sama di masjid ataupun di kawasan masing-masing, dalam usaha membudayakan al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/tak-mampu-baca-quran-depan-kaabah-1.524072