Kuala Lumpur: Membuat persiapan awal menghadapi kematian adalah sesuatu yang digalakkan dalam agama Islam, namun amalan itu haruslah berpada-pada dan bukannya dilakukan sehingga membawa kepada pembaziran.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Dekan (Jaringan & Alumni) Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim susulan trend pembelian dan penempahan lebih awal set pengurusan jenazah terutama batu nisan yang meningkat sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, membeli atau menempah lebih awal set pengurusan jenazah bukanlah suatu perkara yang diwajibkan, namun dari segi hukum tidak menjadi masalah jika ia dilakukan.
“Pada hari ini kita lihat, ada yang siap beli awal kain kafan diletakkan di bawah katil dan mewasiatkan bahawa apabila mereka meninggal gunalah kain itu yang dibelinya sendiri untuk bertemu Allah SWT kelak.
“Tidak terkecuali menempah batu nisan dan ruangan kubur, perkara ini tidak salah dalam Islam cuma kena berhati-hati.
“Jangan sesekali menjadikan perbuatan itu ke arah pembaziran, menyandarkan ia sebagai sunnah nabi atau buat perkara khurafat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam
Terdahulu, Metro Ahad melaporkan berlaku peningkatan penempahan batu nisan lebih awal sebelum kematian daripada pelanggan yang diakui syarikat pengurusan jenazah sejak peralihan kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Rata-rata pembeli menempah batu nisan lebih awal untuk diletakkan di rumah bagi tujuan memperingati kematian dan sebagai pendorong berusaha melakukan kebaikan.
Batu nisan yang ditempah itu juga lengkap dengan nama pelanggan namun tarikh kematian dikosongkan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Nabi Muhammad SAW tidak pernah menyuruh umat Islam membeli atau menempah lebih awal set pengurusan jenazah sebaliknya baginda menyarankan umat Islam menghadiri majlis pengebumian untuk memperingati kematian yang pasti.
“Ada banyak cara untuk memperingati kematian yang pertama bermuhasabah dengan kematian orang sekeliling kita.
“Kedua digalakkan dalam Islam mengikuti solat jenazah dan ketiga menghadiri majlis pengebumian untuk mendengar talkin agar kita sedar satu hari nanti kita juga akan berada di dalam kubur-kubur itu,” katanya.
Mengulas mengenai faktor peningkatan kesedaran masyarakat Islam meperingati kematian, Dr Mohd Izhar Ariff berkata, dugaan wabak Covid-19 yang melanda dunia juga antara pendorong keinsafan segelintir individu.
“Sejak kebelakangan ini, ditambah dengan kadar peningkatan kematian akibat wabak Covid-19 sudah ramai masyarakat Islam mula sedar bahawa mati itu pasti dan insaf meninggalkan keburukan.
“Daripada melakukan banyak kemaksiatan berubah kepada yang lebih baik dan daripada tidak bertudung berhijrah kepada menutup aurat dengan sempurna.
“Sememangnya, wabak Covid-19 kini menyedarkan kita banyak perkara bahawa mati itu pasti,” katanya. -My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)