Kuala Lumpur: Program pengimarahan masjid pada bulan Ramadan diteruskan seperti biasa tanpa sebarang perubahan.
Bagaimanapun, ia masih bergantung kepada keadaan dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama ketika jangkitan Covid-19 masih tidak menentu di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, setakat ini prosedur operasi standard (SOP) biasa akan digunakan dan mungkin akan ada kelonggaran mengikut kesesuaian.
“Setakat hari ini belum lagi kita putuskan. Tapi tidaklah kita kata nak tutup masjid. Masjid kita tak tutup.
“Mungkin kita laksanakan macam biasa, mungkin ada lagi SOP yang agak longgar sikit. Itu bergantung kepada keadaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sumbangan Tablet Kepada Pelajar dan Bantuan Wi-Fi, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyeru masjid di negara ini memperbanyakkan program bersesuaian dengan fungsinya sebagai pusat perkembangan ekonomi dan sosial.
Katanya, masjid perlu dihidupkan seperti zaman Rasulullah SAW supaya menjadi bukan saja tempat solat semata-mata.
“Seruan saya supaya program diperbanyakkan. Kita hendak masjid hidup balik macam zaman Rasulullah SAW, bila dia sampai ke Madinah, dia bina masjid.
“Kita hendak masjid sebagai tempat pelajaran, sosial, perkembangan ekonomi, jadi kita hendak aktif,” katanya. – Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM