Beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut tahun baharu 1444 Hijri. Tanggal 1 Muharam adalah hari pertama bermulanya tahun baharu bagi Takwim Hijri dan ia adalah khazanah bernilai membuktikan tamadun Islam yang hebat.
Umat Islam sepatutnya tidak bergantung sepenuhnya terhadap perkiraan kalendar lain kerana hakikatnya Takwim Hijri menjadi penentu banyak amal ibadah umat Islam.
Kedatangan tahun baharu dalam Takwim Hijri kali ini menunjukkan sudah 1444 tahun berlalu pengorbanan Rasulullah SAW dan sahabat berhijrah dari Makkah ke Madinah. Perlu diketahui tanggal 1 Muharam bukan tarikh penghijrahan Rasulullah tiba di Madinah.
Sebaliknya ia adalah hari pertama bagi bulan pertama mengikut Takwim Hijri. Perkara yang mengaitkan Takwim Hijri dengan Hijrah ar-Rasul ialah tahun perkiraan pertama dalam Takwim Hijri mengambil kira tahun pertama berhijrahnya Rasulullah dan sahabat ke Madinah.
Menurut pengkaji sejarah Islam, hijrah Rasulullah SAW berlaku dalam bulan Rabi’ul Awal, bukan bulan Muharam. Inilah fakta yang perlu diketahui oleh semua umat Islam.
Takwim Hijri merujuk kepada perkiraan tahun pertama yang mengambil kira tahun berlakunya penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Tidak dapat dinafikan hijrah adalah satu peristiwa besar dalam lipatan sejarah Islam kerana ia menjadi titik tolak kepada kebangkitan Islam dan umatnya sehingga menjadi satu agama yang terus berkembang sehingga ke hari ini.
Allah SWT mengangkat kedudukan orang yang berhijrah kerana menyahut seruan-Nya dengan menyatakan muhajirin (orang yang berhijrah) sebagai golongan yang benar-benar mengharapkan rahmat daripada-Nya.
Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya orang yang beriman dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 218)
Umat Islam sepatutnya berbangga kerana termasuk dalam kalangan umat yang memiliki tamadun dan peradaban tinggi. Berdasarkan catatan sejarah, banyak usaha yang dilakukan oleh sarjana Islam dalam menzahirkan ketinggian martabat Islam bukan sahaja melibatkan urusan agama berbentuk ibadah khusus, malah turut mencakupi pelbagai aspek kehidupan.
Lihat sahaja bidang perundangan, ekonomi, perubatan, teknologi dan pelbagai lagi, semuanya tidak terlepas daripada kajian dan dapatan bermanfaat oleh cendekiawan Islam.
Semua ini membuktikan Islam adalah agama yang tidak sesekali menolak kemajuan dalam kehidupan duniawi, malah sarjana Islam terus mendahului pengkaji lain dalam mengkaji pelbagai bidang untuk manfaat manusia. Kewujudan kalendar Islam atau Takwim Hijri merupakan antara bukti jelas bahawa Islam terus mencipta kegemilangan tamadunnya tanpa bergantung kepada pihak lain.
Usaha murni ini dilakukan oleh Saidina Umar bin al-Khattab. Saidina Umar memilih bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam Takwim Hijri. Adakah Saidina Umar orang pertama yang menetapkan bulan-bulan dalam Islam? Sebenarnya kesemua dua belas bulan dalam Islam telah sediakala digunakan dalam Islam.
Buktinya, sejak Rasulullah SAW masih hidup, baginda menjelaskan tentang sesetengah ibadah dalam Islam berpandukan bulan Islam. Ibadah puasa contohnya dilakukan dalam bulan Ramadan dan ibadah haji dilakukan dalam bulan Zulhijah.
Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati…” (Surah at-Taubah, ayat 36)
Saidina Umar adalah orang yang dikenal pasti menggunakan kesemua dua belas bulan ini dalam menentukan Takwim Hijri kerana masyarakat Arab sebelumnya tidak mempunyai perkiraan tahun yang tetap. Kebiasaannya tahun dikenali berdasarkan sesuatu peristiwa besar yang berlaku pada tahun tersebut.
Contohnya kelahiran Rasulullah SAW berlaku pada Tahun Gajah kerana melibatkan peristiwa tentera bergajah pimpinan Abrahah yang berusaha menyerang Makkah dan Kaabah. Manakala nama bulan-bulan hijrah yang digunakan sekarang sebenarnya diambil daripada nama bulan-bulan yang telah digunakan oleh orang Arab sebelum kedatangan Islam lagi.
Cumanya masyarakat Arab tidak mempunyai kiraan tahun sepertimana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun Masihi.
Saidina Umar selaku Amirul Mukminin telah menghantar surat kepada Gabenor Basrah iaitu Abu Musa al-Ashʻari. Beliau menyatakan dalam surat tersebut tentang bulan Syaaban. Oleh kerana surat tersebut hanya menyatakan bulan Syaaban, maka Abu Musa al-Ashʻari membalas surat tersebut dengan bertanyakan kepada Saidina Umar tentang bulan Syaaban manakah yang dimaksudkan oleh Saidina Umar.
Ia sama ada bulan Syaaban ketika surat itu diterima atau bulan Syaaban tahun sebelumnya. Maka disebabkan hal tersebut, Saidina Umar berpandangan bahawa penetapan tahun yang melibatkan bulan-bulan yang sediakala digunakan adalah satu keperluan bagi umat Islam.
Pada mulanya, terdapat pelbagai cadangan yang diberikan kepada Saidina Umar tentang perkiraan tahun bagi umat Islam. Terdapat cadangan yang menyarankan agar tahun Islam dikira mengikut tahun kelahiran Rasulullah SAW.
Ada juga yang mencadangkan agar tahun kewafatan Rasulullah SAW dijadikan asas dalam menetapkan tahun dalam taqwim Islam. Namun, Saidina Umar akhirnya memilih untuk menetapkan perkiraan tahun bagi taqwim Islam berdasarkan tahun hijrah Rasulullah SAW ke Madinah.
Oleh itu, tahun melibatkan Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah dijadikan sebagai tahun pertama dalam takwim Islam. Kalendar Islam dikenali sebagai Takwim Hijri. Perkataan ‘Hijri’ merujuk kepada makna ‘Hijrah’. Selepas mendapat persetujuan mengenai penetapan tahun pertama dalam takwim Islam, timbul pula persoalan tentang bulan pertama dalam Takwim Hijri.
Dalam hal ini, Saidina Umar memilih bulan Muharram sebagai bulan pertama dalam Takwim Hijri. Hal ini disebabkan bulan Muharam merupakan bulan yang umat Islam baru sahaja menyelesaikan ibadah fardu haji.
Ibnu Kathir menyebut dalam karyanya al-Bidayah wa al-Nihayah: Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh sepertimana orang bukan Arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu.” Jawab Umar: “Cadangan yang baik.” Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?” Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi SAW, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain.
Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?” Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan Muharam kerana ia bulan yang orang ramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharam bulan yang pertama.
Begitulah serba ringkas mengenai sejarah penetapan tahun Hijrah dan pemilihan bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam sistem perkiraannya. Jika kita perhatikan, ramai dalam kalangan umat Islam yang tidak mengetahui sistem perkiraan tahun Hijrah dan bulan-bulan yang terdapat dalamnya.
Sebenarnya menjadi tanggungjawab kita semua untuk mengekalkan penggunaan sistem Takwim Hijri dalam urusan seharian. Hal ini tidak bermaksud kita wajib meninggalkan sistem kalendar Masihi, namun jangan sesekali ditinggalkan jauh sistem Takwim Hijri yang kita warisi daripada tokoh terbilang dalam sejarah Islam.
Bukankah amal ibadah dalam Islam yang kita amalkan bergantung kepada perkiraan Takwim Hijri. Selain ibadah wajib melibatkan puasa dan haji, pelaksanaan ibadah sunat juga memerlukan kita mengetahui tentang Takwim Hijri. Ibadah puasa sunat pada hari-hari putih iaitu melibatkan hari ke-13, 14 dan 15 di pertengahan setiap bulan Islam memerlukan pengetahuan terhadap Takwim Hijri. Daripada Abu Hurairah, katanya: “Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari (hari-hari putih) pada setiap bulan, solat Dhuha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur.” (Muttafaq ‘alaih)
Marilah sama-sama kita memperkasakan penggunaan Takwim Hijri yang merupakan warisan tamadun Islam. Sempena kadatangan tahun baharu mengikut kalendar Islam 1444 pada kali ini, ayuh kita manfaatkan penggunaan Takwim Hijri dalam urusan harian termasuk berkaitan urusan rasmi.
Pejabat-pejabat sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta yang diurus oleh orang Islam perlu menggunakan Takwim Hijri dalam urusan seperti surat-menyurat, minit mesyuarat, sebaran rasmi dan sebagainya agar ia menjadi bukti keprihatinan dalam mengangkat khazanah Islam yang bernilai ini. Sekolah dan institusi pendidikan tinggi juga adalah tempat penting yang sepatutnya memperkasa penggunaan Takwim Hijri agar generasi Muslim akan datang tidak buta takwim ini. – My Metro
Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM