Tanam perasaan ikhlas, bantu mangsa bencana

Keikhlasan antara asas dalam ajaran Islam yang disyariatkan atas dasar ubudiyah (pengabdian) kepada Allah SWT sebagai tujuan utama penciptaan manusia dan jin.

Tanpa roh ikhlas, sesuatu amalan atau ibadah seperti mayat. Allah SWT berfirman: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.” (Al-Baiyinah: 5)

Umar al-Khattab RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan disertai niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya akan mendapatkan apa dia niatkan. Sesiapa hijrahnya untuk mendapatkan dunia atau untuk wanita ingin dia nikahi, maka hijrahnya kepada apa dia hijrah kepadanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Imam al-Ghazali pernah menyatakan: “Niat lurus dan hati ikhlas semata-mata kerana Allah adalah lebih tinggi martabat serta kedudukannya daripada pekerjaan semata-mata hanya berdasarkan niat untuk memperoleh manfaat duniawi.

“Niat lurus dan hati ikhlas itulah membuatkan amalan seseorang diterima Allah SWT. Sedangkan niat buruk lambat-laun nescaya akan menghilangkan rasa taat kepada Allah SWT, akhirnya akan mengubah menjadi kesukaan kepada berbuat maksiat.

“Daripada perbuatan maksiat, orang itu tidak akan memperoleh apapun melainkan kekecewaan dan kerugian. Bagi tujuan itu, keikhlasan kemuncak penerimaan amalan apa jua bidang diceburi kerana ia akan menentukan dan menjadi neraca sama ada diterima atau tidak di sisi Allah SWT,” tulisnya.

Perbuatan riya’ atau menunjuk-nunjuk dan memperelok sesuatu perbuatan atau amalan bertujuan memperlihatkannya kepada orang lain untuk mendapat pujian atau apa-apa keuntungan lain, ditegah dalam Islam.

Penyakit riya’ ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja bahkan termasuk mukmin soleh. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW mengkhabarkan tiga golongan yang kali pertama dihisab, iaitu orang mati syahid, orang mempelajari dan mengajarkan ilmu dan orang bersedekah.

Namun, ketiga-tiga golongan ini dihumban ke dalam neraka kerana amal ibadah mereka lakukan tidak ikhlas kerana Allah SWT tetapi berharap kepada keuntungan dunia.

Lihatlah betapa penting sifat ikhlas dan bahaya penyakit riya’. Dalam hadis lain Rasulullah SAW menyatakan riya’ termasuk antara syirik kecil seperti hadis diriwayatkan daripada Mahmud Labid RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perkara paling aku takut terjadi pada kamu ialah syirik kecil. Sahabat bertanya: “Apakah itu syirik kecil wahai Rasulullah? Baginda bersabda: “Itulah riya’. Allah SWT akan befirman pada hari kiamat kelak: pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalan kamu).” (HR Ahmad)

Peristiwa banjir berlaku pada akhir tahun lalu, menunjukkan rakyat Malaysia boleh hidup bersatu padu dan saling membantu antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan bangsa.

Kita dapat lihat betapa pemurah rakyat menghulurkan sumbangan sama ada berupa makanan, wang ringgit dan pakaian, bahkan menyumbangkan tenaga membantu membersihkan rumah terjejas dengan banjir.

Rasulullah SAW menyatakan Allah SWT akan mempermudahkan urusan hamba-Nya mempermudahkan urusan orang lain dalam kesusahan di dunia dan di akhirat seperti dirakam dalam Sahih Muslim.

Bagaimanapun, perlu diingatkan dalam keghairahan membantu mangsa banjir ini, jangan pula ada mengambil kesempatan mengejar keuntungan duniawi seperti populariti, menjaga kedudukan dan pemasaran produk.

Menyumbanglah dengan ikhlas walau tidak diketahui orang lain. Yang pasti, Allah SWT Tuhan Maha Tahu dan Dia sebaik-baik penilai kita.

Bagi melakukan sesuatu amalan dengan ikhlas, kita memerlukan kepada pedoman diri dan kekuatan iman agar dapat menangkis pengharapan kepada pujian serta sanjungan manusia.

Oleh itu, ikhlas diumpamakan seperti seekor semut hitam berjalan di atas batu hitam pada malam gelap. Berhati-hatilah dengan tipu daya syaitan sengaja memesongkan hati kita daripada sifat ikhlas.

Perbanyakkan berdoa semoga Allah SWT memberikan rahmat-Nya kepada kita dan memberikan petunjuk kepada hati kita agar ikhlas kerana Allah SWT.

Penulis adalah Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts