IPOH: Isu pemilikan harta dan kekayaan umat Islam di negara ini yang lebih rendah berbanding bukan Islam serta masalah aset umat Islam bernilai puluhan bilion ringgit yang tidak produktif, perlu ditangani.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah pemilikan harta dan kekayaan umat Islam di negara ini lebih rendah berbanding bukan Islam, sekali gus memerlukan usaha segera bagi mengelak masalah itu semakin ‘membesar’.
“Keadaan lebih merisaukan apabila Beta disembah maklum, dianggarkan RM60 bilion nilai aset umat Islam bersifat tidak produktif, berada di dalam akaun bank dan insurans yang tidak dituntut selain aset yang beku disebabkan masalah faraid setelah berlakunya kematian pemilik aset,” titah baginda.
Sehubungan itu, Sultan Nazrin meminta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menggerakkan langkah aktif dalam usaha membantu menyelesaikan masalah aset umat Islam yang tidak produktif.
Baginda menyarankan MAIPK dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dengan kerjasama seluruh masjid dan surau, agensi kerajaan dan swasta serta media menganjurkan secara besar-besaran program mendidik umat Islam melakukan hibah.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada majlis penganugerahan watikah lantikan 22 Ahli MAIPk bagi sesi 2018-2020, sembilan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan 10 Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak.
Sultan Perak turut berkenan menerima cek zakat perniagaan bernilai keseluruhan RM2,687,420.96 daripada empat pihak sebelum menyerahkannya kepada Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Dr wan Mohd Zahid Mohd Noordin.
Baginda juga menyaksikan majlis menandatangani perjanjian usaha sama pembangunan dana wakaf MAIPk di antara MAIPk dan Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM).
Usaha sama itu membabitkan ahli AIBIM, iaitu Affin Islamic Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia, Bank Kerjasama Rakyat Berhad, RHB Islamic Bank Berhad dan Maybank Islamic Berhad.
Bank berkenaan akan menyediakan platform pengutipan dana wakaf daripada penyumbang melalui pelbagai saluran sebelum diagih kepada projek yang menjurus kepada sektor kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi.
Pihak bank juga akan membantu MAIPk menjalankan pemasaran dan pelaporan balik projek bagi membina keyakinan penyumbang dana wakaf.
Baginda turut berpuas hati dengan prestasi MAIPk yang berjaya meningkatkan kutipan zakat daripada RM57.96 juta pada 2008 kepada RM167.43 juta tahun lalu dengan purata pertumbuhan 11 peratus setahun, selain menerima beberapa pengiktirafan dan anugerah.
Sultan Perak bagaimanapun mahu usaha penambahbaikan seperti kaedah kutipan lebih mesra pelanggan dan keberkesanan agihan, terutama usaha menangani kemiskinan, terus dirintis dan diteroka.
Langkah itu, titah baginda, supaya masih ramai umat Islam dalam kategori miskin yang wajib dibantu mendapat bantuan berkenaan.
“Modul bantuan yang lebih inovatif, yang berupaya memberi impak berkesan hingga berjaya mengeluarkan golongan penerima daripada kepompong kemiskinan wajib diperkenalkan,” titah Sultan Perak.
Sultan Nazrin juga menegaskan, matlamat perlu ditetapkan supaya golongan penerima berkenaan dapat ditransformasikan sebagai pembayar zakat. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)