Tanggungjawab dan hak

 

KITA selalu dengar ungkapan hak dan tanggungjawab. Susunan ungkapan ini ada pengaruh falsafah hidup Barat yang kuat.Saya cenderung pada ungkapan tanggungjawab dan hak. Ini disebabkan falsafah Islam mendahulukan tanggungjawab berbanding hak, walaupun kedua-duanya ibarat dua muka bagi syiling yang satu.

Analisis deduktif dan induktif terhadap kandungan syariat mendapati Allah S.W.T. amat menekankan soal tanggungjawab manusia yang disebut sebagai taklif.Oleh kerana taklif itu beban dan manusia pula terbatas kemampuannya, maka syariat berbicara mengenai rukhsah hampir dalam semua taklif sehingga disimpulkan ulama bahawa pemudahan itu salah satu sifat utama Islam.
Hak manusia pula sudah sedia dikurniakan Allah sebagai nikmat sejak dilahirkan.

Jika bicara taklif disertakan dengan bicara mengenai rukhsah, bicara nikmat yang tidak terhitung banyaknya itu disertakan dengan bicara mengenai kezaliman.Manusia menzalimi diri sendiri apabila tidak mensyukuri nikmat Allah. Manusia menzalimi orang lain apabila menyekat atau merampas nikmat yang telah ditetapkan Allah.

Taklif ialah beban, sebagaimana larangan berlaku zalim juga adalah beban.Manakala rukhsah adalah kerehatan, kurniaan Allah, sebagaimana nikmat juga adalah kerehatan, kurniaan Allah jua.Perkara-perkara yang bersifat kerehatan tidak terlalu digesa oleh Allah agar manusia mengambilnya, kerana nafsu manusia itu sendiri sudah jadi pendorong.Perkara-perkara yang bersifat beban amat diberi perhatian oleh Allah agar manusia bertanggungjawab mengenainya, kerana nafsu manusia tidak menyukainya.

Diberi perhatian atau kurang diberi perhatian dari sudut pertanggungjawaban itu boleh dilihat, secara analisis, dari sudut kekerapan dibicarakan, kekuatan bahasa bicara, hukuman di dunia yang disertakan dan hukuman di akhirat yang dijanjikan, dan pelbagai ukuran lain.Sehubungan itu, tetapan minda yang mendahulukan hak ke atas tanggungjawab akan menimbulkan ketidakseimbangan dalam kehidupan manusia.

Taklif manusia yang bernama ibu bapalah yang menyebabkan kanak-kanak terpelihara dan terdidik, bukan kerana perjuangan kanak-kanak itu untuk mendapatkan haknya untuk dipelihara dan dididik.Taklif manusia yang bernama suamilah yang menyebabkan isteri terjamin nafkah dan keselamatan dirinya, bukan kerana perjuangan isteri itu untuk mendapatkan hak tersebut.Taklif manusia yang bernama isterilah yang menyebabkan suami terjaga makan minum dan kebajikan dirinya, bukan kerana perjuangan suami untuk mendapatkan hak itu.

Taklif manusia yang bernama pemimpin yang menyebabkan keperluan asasi rakyat untuk hidup bermaruah itu terjaga, bukan kerana perjuangan rakyat untuk mendapatkan hak itu.Namun, manusia memang bernafsu untuk berlaku zalim. Maka perjuangan menuntut hak itu datangnya akibat kezaliman. Jika tiada kezaliman, hak itu memang sedia ada dikurniakan Allah.

Memberi perhatian kepada isu tanggungjawab dan pertanggungjawaban adalah tindakan proaktif yang membangunkan, manakala perjuangan menuntut hak adalah tindakan reaktif yang meletihkan semua pihak.Mencegah lebih baik daripada merawat.Oleh itu, perhatian kita sepatutnya ditalakan kepada isu tanggungjawab dan pertanggungjawaban, sebagaimana tabiat agama suci ini dalam mengendalikan manusia.

Oleh : Ustaz Mohd Hazizi Abdul Rahman

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts