TEMA Hari Alam Sekitar Negara (HASN) pada tahun ini memberi mesej yang mengesankan lebih-lebih lagi dalam keadaan musibah wabak yang belum berakhir.
‘Alam sekitar tanggungjawab bersama’ perlu dijiwai oleh setiap individu ahli masyarakat tanpa mengira agama, bangsa, darjat ataupun usia. Mesti kita fahami dengan baik bahawa alam sekitar adalah satu ekosistem yang seimbang dan tertutup, yang mana di dalamnya semua manusia membangunkan kehidupan.
Sebarang gangguan yang menyebabkan ketidakseimbangan pada ekosistem akan kembali padahnya kepada manusia. Penggunaan sumber alam serta pembangunan yang berpandukan nafsu kapitalis telah menyebabkan sangat banyak kerosakan yang berlaku.
Allah mengingatkan manusia berkenaan hal ini di dalam Al Quran yang bermaksud,
Telah jelas kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). – Surah Ar-Rum (30:41)
Walaupun kita mengalami pelbagai kesukaran akibat daripada kerosakan yang berlaku, kita tidak boleh berputus asa dengan tidak berbuat apa-apa. Bahkan, merawat serta mencegah kerosakan alam sekitar adalah bertepatan dengan maqasid syarak. Cara yang terbaik untuk keluar daripada masalah ini adalah dengan kembali kepada ajaran Islam sebagai panduan hidup yang sempurna.
Bermula dengan membetulkan moral terhadap alam sekitar, iaitu dengan penerapan aqidah dalam memahami peranan manusia sebagai khalifah yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi serta pasti akan dipertanggungjawabkan ketika di akhirat nanti.
Untuk memakmurkan bumi tidak cukup dengan hanya bersandarkan nilai moral semata-mata, tetapi juga perlu kepada ilmu pengetahuan semasa. Amalan pembangunan lestari, aplikasi teknologi hijau di peringkat industri, penguatkuasaan undang-undang serta pendidikan kesedaran alam sekitar di dalam masyarakat perlu berlangsung serentak.
Masyarakat terutamanya mempunyai kuasa pengimbang yang besar sebagai pengguna dalam memastikan keberhasilan usaha ini. Mereka perlu didedahkan dengan lebih banyak maklumat supaya dapat mengetahui impak daripada tindakan dan keputusan harian yang memberi kesan kepada alam sekitar.
Aktiviti-aktiviti yang terdapat sepanjang HASN pada tahun ini seperti program pengumpulan e-waste, kempen hindari plastik sekali guna serta kempen penanaman pokok adalah sangat baik untuk menyampaikan ilmu serta maklumat tentang bagaimana masyarakat turut boleh berperanan.
Namun, usaha seumpama ini masih belum mencukupi dan wajar dikembangkan lagi melalui pelbagai medium dan kempen bersasar agar dapat mencapai segenap ahli masyarakat. Lebih baik lagi sekiranya kempen dan pendidikan dapat menerapkan nilai keimanan dalam menyelesaikan masalah alam sekitar.
Dalam menggalas tanggungjawab bersama ini, pemimpin dan penguasa perlu memiliki taqwa dalam melaksanakan amanah, masyarakat awam pula bersifat ihsan dalam dalam banyak tindakan mereka yang tidak dapat diawasi manusia.
Perubahan di peringkat individu, di setiap rumah dan seterusnya pada setiap perusahaan pasti akan dapat memperbaiki tahap kualiti alam sekitar di negara ini.
Semoga Allah mengampunkan keculasan kita disebalik pelbagai bentuk kerosakan di bumi, serta memberi taufiq untuk menjalankan amanah sebagai khalifah dengan sebaiknya.
Selamat menyambut Hari Alam Sekitar Negara. – Ismaweb
Fadhilah Othman
Ahli Jawatankuasa Pusat
Komuniti Penyelidik Sumber Asli dan Alam Sekitar (SALAM)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)