Antara kewajipan tidak kurang pentingnya dalam Islam yang kedudukannya juga sebaris dengan kewajipan utama lain seperti solat, zakat, puasa dan haji ialah amalan amar makruf nahi mungkar.
Ungkapan amar makruf nahi mungkar sering kali diulang-ulang di helaian al-Quran bagi membuktikan betapa pentingnya dan tingginya amalan berkenaan menurut kaca mata Islam, sekali gus sebagai amalan wajib ditunaikan umat Islam secara keseluruhannya.
Bahkan, yang lebih menariknya ialah amalan amar makruf nahi mungkar adalah antara ciri utama atau kriteria terpenting sebagai umat yang terbaik sebagaimana ditegaskan sendiri oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” Surah Ali Imran ayat 110
Dari sini, umat Islam sewajibnya menginsafi mereka sebenarnya bertanggung jawab melaksanakan kewajipan amar makruf nahi mungkar dalam konteks kehidupan seharian selain daripada menunaikan amalan fardu seperti solat, zakat, puasa dan haji.
Tambahan pula, konsep amar makruf nahi mungkar ini sebenarnya pendekatan yang ampuh bagi menyelesaikan segala kemelut atau gejala sosial yang melanda sesuatu masyarakat. Dengan wujudnya kesedaran masyarakat Islam melaksanakan amar makruf nahi mungkar sudah pasti akan menghasilkan satu komuniti masyarakat harmoni dan sejahtera.
Ini kerana sejarah silam membuktikan bahawa antara punca kejatuhan dan kelemahan sesebuah kerajaan atau bangsa ialah kerana berleluasanya maksiat atau penyakit masyarakat seperti rasuah, kronisme dan kezaliman dalam ruang lingkup kehidupan mereka.
Sehubungan itu, Allah menegaskan dalam al-Quran akibat yang menimpa kepada umat terdahulu kerana kelalaian mereka menegakkan kewajipan amar makruf nahi mungkar ini.
Firman Allah dalam Surah al-Anfal, ayat 25 yang bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah maha berat azab seksanya.”
Jelas daripada inti pati ayat suci itu bahawa perbuatan membiarkan sahaja amalan maksiat berleluasa dalam masyarakat akan membawa bala bencana yang bukan saja menimpa kepada orang yang berdosa, bahkan juga akan menimpa kepada masyarakat umumnya.
Oleh itu, setiap Muslim bukan sahaja diwajibkan menjauhi diri daripada perbuatan yang dilarang Allah, tetapi juga wajib mencegah perbuatan terlarang itu daripada merebak dalam masyarakatnya.
Kisah kebinasaan kaum Bani Israil sudah memadai menjadi satu pengajaran yang cukup berkesan kepada umat Islam seluruhnya tentang peri pentingnya amar makruf nahi mungkar dijulang dan ditegakkan bagi memastikan kelangsungan kehidupan manusia di atas muka bumi ini.
Kisah mereka dirakamkan Allah dalam Surah al-Maidah ayat 78 hingga 79 yang bermaksud: “Orang kafir Yahudi daripada Bani Israil dilaknat (di dalam kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) daripada perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh) yang mereka lakukan. Sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka lakukan.”
Selanjutnya, Rasulullah memberikan panduan kepada umat Islam adab mencegah kemungkaran apabila dilihat berlaku dalam kehidupan seharian.
Sabda baginda yang bermaksud: “Sesiapa daripada kamu yang ternampak kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya atau mencegahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya dia tidak mampu dengan tangannya maka hendaklah dia mengubahnya (mencegahnya) juga dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu juga maka dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.” Hadis Riwayat Muslim
Dalam al-Quran, Allah menjelaskan dengan terang tentang perkara yang dihalalkan dan diharamkan kepada umat Islam. Oleh itu, amar makruf nahi mungkar wajib dilaksanakan selaras dengan apa yang terkandung dalam al-Quran dan sunah Rasulullah.
Sebagai contohnya, kalaulah Allah mengharamkan judi, riba, arak, kezaliman, fitnah menfitnah dan sebagainya maka janganlah dibiarkan amalan tersebut mengakari serta seterusnya melarat dalam masyarakat Islam kerana sudah jelas amalan itu larangan Allah. Ringkasnya, apa-apa amalan yang ditegah Islam adalah wajib dihalang dan dicegah agar ia tidak merebak dalam sesebuah masyarakat.
Jelas amar makruf mempunyai pengertian yang amat luas merangkumi seluruh ruang lingkup kehidupan manusia. Menyeru manusia agar berakhlak mulia, berilmu dalam segala disiplin ilmu sama ada duniawi mahupun ukhrawi dan kembali kepada Islam adalah termasuk dalam skop pengertian amar makruf.
Begitu juga menyeru ke arah perpaduan dan kesatuan ummah, menegakkan keadilan sosial, memerangi kemiskinan serta perjuangan menegakkan Islam termasuk dalam erti kata amar makruf. Pendek kata, apa-apa perjuangan ke arah kebaikan dan kesejahteraan ummah sejagat menurut landasan Islam adalah termasuk dalam pengertian amar makruf.
Meninjau senario umat Islam mutakhir ini, setiap individu bertanggung jawab di bahu masing-masing untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar berdasarkan kepada kemampuan dan kuasa yang ada pada mereka.
Sebagai contohnya, ibu bapa bertanggung jawab terhadap anak yang berada di bawah pemeliharaan dan tanggungan mereka. Anak mereka sewajibnya diasuh dengan tarbiah Islamiah supaya mereka menjadi anak yang soleh dan bermanfaat kepada masyarakat Islam.
Sebaliknya, kalau anak mereka melakukan sesuatu yang bercanggah dengan nilai Islam dan norma masyarakat, ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk menegurnya dan memelihara mereka daripada terjebak ke lembah larangan Allah. Seandainya tanggungjawab ini diabaikan, sudah pasti harapan untuk membina institusi rumah tangga yang bahagia dan harmoni tidak akan tercapai.
Dengan penglibatan daripada semua pihak dalam menjayakan amar makruf nahi mungkar, kerahmatan Ilahi akan menjelma memayungi kehidupan ummah sejagat.
Dalam hal ini, Allah berfirman dalam Surah at-Taubah ayat 71 yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan, mereka mendirikan solat, memberi zakat, taat kepada Allah serta rasul-Nya.
Mereka itulah akan diberi rahmat oleh Allah Taala. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” -My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM