Taqwa adalah permulaan, pertengahan, dan pengakhiran.
Demikianlah rungkaian Al-Ghazali dalam permulaan kitabnya Bidayatul Hidayah. Hidayah itu bermula dengan taqwa, dipertengahkan dengan taqwa dan diakhiri pula dengan taqwa.
Ya, mudah dikata, sangat sukar dilaksana.
Namun saya cuba membawa perspektif yang lain dalam menanggapi isu taqwa ini. Saya cuba melihat perspektif yang cuba Allah terapkan dalam cara Allah menyeru manusia dalam Al-Quran.
Dalam surah Al-Hujurat, surah yang menceritakan perihal adab terhadap Allah dan Rasul, tidak meninggikan suara, perihal adab sesama kelompok orang beriman, ikatan ukhuwwah sesama mereka, larangan mengeji, mencari-cari kesalahan dan mengumpat, hakikat penciptaan berbagai kaum, serta diakhiri dengan ciri-ciri sebenar orang yang beriman.
Setiap pengakhiran kepada ayat-ayat ‘larangan’ ini Allah seru untuk bertaqwa.
Ayat pertama, larangan untuk mendahului Allah dan Rasul-Nya, kemudian suruhan bertaqwa.
Ayat seterusnya, adab bersama Nabi SAW, Allah nyatakan mereka yang beradab dengan Nabi SAW adalah golongan yang Allah kurniakan ketaqwaan dalam hati mereka.
Ayat mengenai pertelingkahan dua puak muslim, Allah akhiri dengan hakikat ukhuwwah orang beriman, dan seterusnya suruhan untuk bertaqwa.
Ayat mengenai selepas larangan mencela dan mengumpat, diakhir dengan suruhan untuk bertaqwa.
Ayat mengenai hakikat kepelbagaian bangsa dan qabilah untuk saling kenal mengenali, diceritakan hakikat kemuliaan pada taqwa, diakhiri pula dengan suruhan untuk bertaqwa.
Demikianlah ayat-ayat yang jelas, suruhan dan larangan, serta kalau kita perhatikan cukup banyak saranan taqwa selepas atau sebelum larangan atau saranan-saranan yang lain yang bersifat teknikal yang diseru kepada orang-orang yang beriman.
Saya menanggapi ayat-ayat taqwa (dalam surah Al-Hujurat) ini sebagai satu mesej jelas bahawa penyelesai segala masalah bermula daripada hati yang makmur dengan rasa cinta dan takut kepada Allah.
Hati yang benar tawajjuhnya, benar kecenderungannya, benar pertimbangannya, dan benar halatujunya, itulah hakikat sebenar sesebuah penyelesaian.
Ya, ia adalah punca segala penyelesaian kepada semua masalah teknikal.
Apabila kita meletakkan hidup kita adalah untuk menuju Allah, dan menetapkan bahawa jalannya adalah jalan yang diredhai Tuhan, sudah pasti hati kita yang diumpamakan dengan enjin kereta itu perlu betul dahulu kondisinya agar ia mampu menongkah jalan yang mulia itu.
Masalah timbul sebagai salah satu tabiat kehidupan manusia. Namun penyelesaian masalah adalah apabila kita kembali kepada Tuhan. Menimbang baik buruk dengan pertimbangan Tuhan. Membetulkan hati dan jiwa agar selari dengan apa yang dikehendaki Tuhan.
Ketika itu, tiada kepentingan diri, tiada ego sesama ahli, tiada pula ‘mesti pendapat sendiri yang dimenangkan’, yang ada hanyalah keredhaan Tuhan, dan pengharapan agar sentiasa diberikan taufiq dan inayah agar dikurniakan keteguhan sepanjang perjalanan. Jika semua mahukan Tuhan, apakah lagi yang perlu dipergaduhkan ?
Ya saudara. Selamanya masalah dakwah dan perjalanan yang panjang ini bukanlah ‘semata-mata’ teknikal dan kerja-kerja di depan mata, ia sekiranya berlaku mungkin hanyalah merupakan satu tirai yang menutup hakikat hidup atau malapnya perkumpulan jiwa-jiwa, yang sudah lama tidak menghadap Tuhannya.
“Belum sampaikah masanya lagi untuk orang beriman khusyuk hatinya dengan zikrullah ?” – Surah Al-Hadiid
Wallahua’lam
Ustaz Ahmad Syamil Md Esa
www.indahnyaislam.my