Terap nilai Islam, moral di tadika: Tun Mahathir

 

KUALA LUMPUR: Nilai Islam akan diterapkan dalam rangka pendidikan di tadika sebagai usaha membentuk peribadi berjiwa murni, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan sukatan pelajaran pendidikan yang berbeza di tadika ketika ini lebih terarah kepada kepentingan penguasaan ilmu.

“Bila bercakap mengenai pendidikan, kita tumpukan kepada penguasaan dan pengisian ilmu, namun pendekatan sebegini hanya berguna kalau mereka pandai gunakan apa yang dipelajari.

“Pelajaran Islam umpamanya terhad kepada ibadat tertentu, bukan kepada nilai cara hidup islam,” katanya, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab sempena Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Dr Mahathir berkata, penguasaan ilmu semata-mata tidak menepati matlamat untuk melahirkan individu berperibadi murni, justeru tumpuan harus diimbangi dengan usaha membentuk kualiti sesuatu masyarakat.

“Apabila kita membesar, ibu bapa ajar mengenai cara hidup, iaitu apa yang baik, buruk, bakal mendapat ganjaran pahala dan sebaliknya untuk menjadi seorang manusia berguna.

“Ibu bapa bekerja, maka masa kualiti untuk ahli keluarga sudah tiada. Oleh itu, mereka tidak dapat meluangkan masa bagi menyemai nilai baik kepada anak-anak.

“Ilmu yang diajarkan di tadika atau sekolah hanya bermanfaat kalau mereka pandai menggunakannya, iaitu menerusi penerapan nilai murni.

“Kalau seorang penyangak, dia guna ilmu untuk mencuri, manakala jika dilatih sebagai orang yang baik, dia guna untuk kebaikan,” katanya.

Menyentuh perbezaan demografi murid tadika, Dr Mahathir berkata, golongan bukan Islam akan diberikan pendidikan moral supaya selari inti pati pelbagai agama di negara ini secara keseluruhan. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts