Terseksanya seorang khalifah

 

Manusia sangat diistimewakan oleh Allah SWT berbanding dengan makhluk-makhluk Allah yang lain. Keistimewaan ini tercatat di dalam beberapa ayat al Al-Quran. Sebagai contoh, Allah telah melantik manusia sebagai khalifahNya di atas muka bumi ini. Firman Allah SWT:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu manusia yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. (QS al-Baqarah :30)

Manusia juga diamanahkan oleh Allah untuk memakmurkan muka bumi ini. Firman Allah SWT: Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. (QS Hud :61)

Bukan setakat itu, bahkan Allah SWT menawarkan kepada manusia semua makhlukNya untuk memberi khidmat kepada manusia di dalam usaha menjadi khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini. Firman Allah SWT: Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti. (QS al-Jathiah 13)

Maka bermulalah episod manusia sebagai khalifahNya. Dengan kedudukannya yang mulia di kalangan hamba-hambaNya, dengan watikah sebagai khalifah oleh Allah SWT bahkan disediakan segala perkakasannya oleh Allah SWT untuk memudahkan kerjanya. Ditambah lagi untuk memudahkan lagi manusia menunaikan amanahNya menjadi khalifah, Allah SWT telah siap menyediakan manual kerja kepada manusia untuk mentadbir alam ini iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Manusia hanya perlu mentaati segala manual Allah.

Ibarat seorang pemimpin yang diberikan pangkat yang tinggi, diberikan segala kemudahan yang memudahkan ia menjalankan tugasnya seperti kemudahan kenderaan, pemandu, elaun-elaun tertentu. Disenaraikan dengan jelas sasaran kerjanya dan dibekalkan manual kerja yang boleh dirujuk. Namun jika ia khianat terhadap tanggungjawabnya, menyebabkan sasaran kerja yang ditetapkan tidak tercapai, manual kerja yang disediakan untuknya diabaikan begitu sahaja bahkan kerja-kerjanya menentang arahan ketuanya.Kita boleh bayangkan tindakan yang bakal diterima oleh pemimpin ini. Jika dihukum sudah tentu hukumannya lebih berat daripada orang biasa yang dipimpinnya.

Itulah gambarannya nasib manusia yang telah dilantik oleh Allah SWT untuk manjadi khalifahNya di atas muka bumi supaya dimakmurkan mengikut manual dan kehendak Allah tetapi mengabaikannya. Maka azab dan balasan yang memedihkan sedang menunggu seorang “khalifah”. Walaupun statusnya sangat tinggi dan dirinya telah rasmi sebagai orang yang ada gelaran tetapi tetap tiada kekebalan apabila berhadapan dengan Allah.

Bahkan ada di kalangan “khalifah” itu diseksa oleh Allah dengan ditempatkan di neraka paling bawah sekali. Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang munafiqin akan di tempatkan pada tingkatan yang paling bawah sekali dari (lapisan-lapisan ) neraka. Dan Kamu tidak sekali-sekali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka. (QS al Maidah : 145)

Ada yang mempersoalkan adakah begitu teruknya nasib seorang yang telah dilantik sebagai khalifah? Jawapannya, sudah tentu itulah salah satu penzahiran keadilan Allah SWT terhadap manusia yang diamanahkan untuk menjadi khalifahNya setelah segala-galanya disediakan untuk manusia, darjat, nikmat dan sebagainya. Balasan kepada manusia yang “diharapkan pagar, pagar yang makan padi”.

Maka, hakikatnya kita sebagai manusia, kita semua adalah khalifah. Apapun posisi kita di dunia ini, setinggi mana pun atau serendah mana pun status sosial kita, kita semua dipertanggungjawabkan untuk memainkan peranan sebagai khalifah Allah dalam posisi kita masing-masing. Kita mesti ada rasa tanggungjawab untuk menggunakan posisi masing-masing bagi mencapai kehendak Allah tidak kiralah samada kita ahli politik, seniman, budayawan, karyawan, ahli sukan, ahli perundangan, penggiat seni atau apa sahaja.

Hendaklah kita insaf semakin tinggi kedudukan kita, semakin banyak kemudahan yang kita nikmati, semakin banyak elaun dan gaji yang kita terima dan semakin luas kuasa yang diperuntukkan untuk kita, jika kita gagal menggunakan posisi kita masing-masing untuk mendaulatkan Islam maka azab yang sedang menunggu kita adalah lebih dahsyat berbanding dengan orang-orang biasa, sesuai dengan apa yang kita terima di dunia ini.

Bagaimana berbezanya peranan seorang pegawai keselamatan yang menjaga sebuah kilang dengan seorang yang diamanahkan menjaga sebuah negara atau negeri, sudah tentu berbeza kebertanggungjawaban di sisi Allah dan sudah tentu berbeza pembalasan yang sedang menunggu.

Sahibus Samahah Ustaz Hj Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts