Tidak berkompromi dengan filem yang mempromosikan babak lucah

PETALING JAYA: Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun memohon tayangan filem Pulau dibatalkan selepas secara terang-terangan mempromosikan babak ‘soft porn’  dan mempamerkan nilai budaya barat serta tidak menghormati sensitiviti masyarakat di negara ini. 

Menurut beliau,  treler filem itu jelas menunjukkan ia berselindung di sebalik genre seram, tetapi mempromosikan babak-babak panas yang memualkan.  

“Saya dimaklumkan ada dalam kalangan pelakon filem tersebut maklum akan wujudnya babak tidak senonoh tersebut, tetapi bukan dirinya yang melakukan babak tersebut, sekiranya benar pun ia tetap dikira bersubahat. 

“Hasil keuntungan daripada tontonan masih tetap diberi kepada semua pelakon. Jika dilihat dari aspek dosa dan pahala maka wajarlah filem ini dibatalkan sebelum tayangannya bulan Mac nanti, mudah-mudahan mereka terselamat daripada dosa yang berterusan. 

“Perlu diketahui menonton atau melakonkan watak yang berunsur lucah adalah haram dan ia tergolong dalam sesuatu yang dikeji dan tercela, sama ada yang ringan atau berat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam. 

Sebelum ini, filem yang dijadulkan ditayangkan pada Mac depan mencetuskan kontroversi apabila treler yang tular memaparkan beberapa adegan keterlaluan dan dilihat tidak menitikberatkan budaya kesopanan dan kesusilaan yang diamalkan rakyat Malaysia.

Lembaga Penapisan Filem dalam satu kenyataan semalam menegaskan, filem tersebut merupakan sebuah filem seram dan bukan filem pornografi seperti yang digembar-gemburkan.

LPF bagaimanapun mendapati, terdapat perbezaan antara kandungan treler filem Pulau yang dikongsikan di dalam media sosial dengan kandungan yang dikemukakan untuk penapisan.

Namun, menjelaskan, kandungan yang ditayang menerusi media sosial tersebut adalah di luar bidang kuasa LPF.

Mengulas lanjut, Asma’ berkata, semua pihak tidak boleh berkompromi dengan mana-mana filem yang mempromosikan babak yang melampau, lucah dan berlebihan. 

Katanya, ramai penggiat filem negara telah berjaya menghasilkan filem berkualiti, mampu mendidik rakyat dan mendapat sambutan yang baik tanpa memaparkan babak tidak senonoh.

“Sungguh saya terkejut apabila membaca respon yang diberikan oleh salah seorang pelakon filem tersebut. Tolong jangan ambil mudah tentang perkara yang terang-terangan merosakkan masyarakat khususnya generasi muda. Bukan semudah itu kita hanya pejam mata, tolong lihat sudut pandangn yang lebih luas kerana industri filem ini ditonton oleh semua lapisan masyarakat. 

“Jika budaya lucah sudah menjadi darah daging kanak-kanak seawal usia lima tahun, adakah kita nak bertanggungjawab? Apatah lagi jika budaya jijik itu dilakukan oleh anak-anak kita sendiri? Para alim ulama, ibu bapa, pendakwah, ilmuwan dan pakar motivasi berusaha keras mendidik anak-anak muda  mengenai bahaya menonton pornografi akhirnya dikeluarkan filem yang mempengaruhi kepada aktiviti tidak bermoral ini. 

“Bukan kita tidak tahu kesan ketagihan pornografi, tetapi demi keuntungan dunia moral dan masa depan masyarakat sanggup digadaikan! Kebebasan berkarya perlu mengekalkan ketinggian budaya tempatan dan agama, walaupun pihak penerbit adalah dari kalangan bukan Islam,” jelasnya. –UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts