- Rasulullah mendidik muslim agar tidak mendedahkan dosanya malah diperintahkan pula agar segera bertaubat kepada Allah. Dalam perihal zina, Rasulullah menasihatkan muslim agar menyembunyikan dosa tersebut. Sabda Rasulullah:
اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةَ الَّتِي نَهَى اللَّهُ عَنْهَا، فَمَنْ أَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسِتْرِ اللَّهِ وَلْيَتُبْ إِلَى اللَّهِ
“(Wahai manusia) jauhilah dari kotoran (zina) ini yang telah ditegah oleh Allah. Barangsiapa yang menderita (terjebak) dengannya, maka hendaklah dia menyembunyikannya. (HR al-Hakim)
- Menurut al-Imam Ibn Abd al-Barr, hadis ini menunjukkan bahawa mendiamkan diri dari mendedahkan dosa zina dengan bertaubat dan menyesal atas perbuatan tersebut adalah lebih baik dari dia mendedahkannya kepada pihak berkuasa yang boleh menyebabkan dia dihukum dengan hukum hudud. (al-Istizkar, 7/466)
- Begitulah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah saat Ma’iz bin Malik al-Aslami datang dengan pengakuan terhadap dosa tersebut. Baginda Nabi memintanya pulang atau menarik pengakuannya takut-takut kalau dia tersalah dalam perkara itu. Tindakan yang sama berlaku ke atas wanita al-Ghamidiyyah.
- Ketahuilah bahawa mereka yang sengaja mendedahkan dosa zinanya kepada khalayak ini seolah-olah memandang rendah terhadap perkara yang dilarang dan dikeji oleh Allah. Kata al-Imam Ibn Battal:
وفى المجاهرة بالمعاصى استخفاف بحق الله وحق رسوله
“Dan dengan mendedahkan maksiat yang dilakukan, dia seakan-akan memandang ringan hak Allah (undang-undang yang telah ditetapkan olehNya) dan hak RasulNya.” (Syarh Ibn Battal, 9/263)
- Anehnya hari ini, manusia tidak merasa segan dengan dosa zina mereka. Dibincangkan pula secara terbuka, malah menjadi tatapan umum dalam media sosial. Sedangkan Allah membenci dosa besar ini dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang keji, jijik dan kotor.
- Lebih menyedihkan lagi terdapat pula ahli masyarakat yang gemarkan cerita kotor dan jijik sebegini. Mereka yang sudah terbiasa dengan menjamah berita sampah yang kotor akan merasakan ia sesuatu yang biasa sedangkan kaum muslimin itu membenci perkara dosa.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM