PUTRAJAYA: Perbuatan menipu sijil vaksin Covid-19 adalah dilarang dalam agama dan pelakunya dianggap berdosa.
Perkara itu dijelaskan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamed al-Bakri menerusi artikel soal jawab agama, di saluran portalnya, Maktabah Al-Bakri, semalam.
Zulkifli berkata, beliau melihat perbuatan menipu sijil ini juga boleh mendedahkan diri dan orang lain kepada bahaya, di samping memberikan kesan buruk masyarakat dan negara.
“Sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab, kita sepatutnya menyahut seruan kerajaan untuk mengambil vaksin sebagai salah satu bentuk ikhtiar bagi melindungi diri dan masyarakat daripada Covid-19. Pada kesempatan ini, kami juga ingin menasihati buat mereka yang sudah terlanjur melakukannya untuk sama-sama menginsafi apa yang berlaku dan bertaubat kepada Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata, dalam kehidupan norma baharu ini, masing-masing tidak boleh menafikan kepentingan untuk mengambil vaksin kerana ia adalah sebahagian usaha untuk melindungi diri, terutama bagi golongan berisiko tinggi.
Justeru, katanya, jelaslah bahawa perbuatan menipu itu bukan daripada ajaran Islam.
“Seseorang itu boleh mendakwa dan menganggap bahawa penipuan sijil vaksin itu hanyalah perkara kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Hakikatnya, perbuatan menipu itulah antara punca utama yang menyebabkan timbulnya pelbagai masalah dan barah dalam masyarakat seperti budaya rasuah yang berleluasa, budaya tipu-menipu dan seumpamanya,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendedahkan terdapat jemaah umrah yang dijangkiti varian Omicron tidak menerima sebarang vaksin dan dibenarkan pergi mengerjakan ibadah itu. – UTUSAN ONLINE
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM