KUALA LUMPUR: Trend menyamakan tarikh lahir dengan surah dan ayat al-Quran yang menjadi ikutan dalam kalangan warga net jelas tiada kaitan dengan kandungan kitab suci itu.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Akademi Al-Bayan Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan, intipati al-Quran perlu diambil secara keseluruhan selain menyifatkan trend menyamakan tarikh lahir dengan ayat suci al-Quran sememangnya tiada kena mengena.
Katanya, tujuan berkenaan tidak menghalalkan cara walaupun niat mereka hanya sekadar suka-suka.
“Sekiranya ayat al-Quran yang disamakan dengan tarikh lahir mereka itu menceritakan tentang azab, adakah mereka akan diazab? Sudah pasti jawapannya tidak.
“Tiada kaitan tarikh lahir dengan ayat atau surah yang diturunkan Allah SWT. Kitab al-Quran sebenarnya adalah peringatan, panduan kepada kita bagaimana untuk menjalani kehidupan di atas muka bumi,” katanya kepada wartawan Berita AlHijrah.
Ujarnya, trend berkenaan perlu ditolak kerana ianya tidak bersandar kepada ajaran Islam.
Sebelum ini tular di aplikasi TikTok berkenaan trend menyamakan tarikh lahir dengan ayat suci al-Quran yang menjadi ikutan warga net.—AlHijrah Online
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM