Tonjol peranan ulama bebaskan tanah air bukannya komunis: Timbalan Mufti

 

BANGI – Komunis telah memahatkan sejarah hitam dengan kekejaman yang tiada tolok banding. Sebaliknya, kisah ulama yang berjuang sama ada dalam diam atau terbuka untuk kemerdekaan tanah air, sedang cuba untuk diketepikan.

Sudah tidak boleh diketepikan nama-nama seperti Mat Hassan Panglima Munas (Tok Janggut); Mat Kilau bin Imam Rasu (Mat Kilau); Haji Awang Muhammad Yusof Kenali (Tok Kenali); Abdul Rahman Bin Tuanku Imam Nuh (Datuk Bahaman); Imam Rasu bin Shahrum (Tok Gajah); dan Sheikh Abdullah Fahim Sheikh Ibrahim, adalah ulama yang berjuang demi kemerdekaan tanah air.

Bukan Ong Boon Hua@ Chin Peng; atau Chien Tien yang berjuang memerdekakan tanah air. Jauh sekali dakwaan Adun PKR Sungai Pelek, Ronnie Liu bahawa Chin Peng adalah satu faktor menyebabkn British memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Lantas, sikap sesetengah pihak sekarang ini yang terlalu mengagungkan komunis, berbanding tokoh pejuang Melayu dan ulama dalam membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah, amat dikesali.

Meluahkan kekecewaannya, Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim berkata:

“Adalah tidak berperlembagaan untuk mengiktiraf perjuangan komunis yang menolak Tuhan, sedangkan jelas tercatat dalam Rukun Negara bahawa penduduk Malaysia mendukung prinsip ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’.

“Mereka ini kena baca dan faham sejarah semula. Mereka kena tahu yang patut kita tonjolkan adalah peranan ulama dalam membebaskan tanah air dari penjajah, bukannya komunis.”

 

 

Beliau berkata demikian merujuk kepada desakan beberapa individu yang mahukan komunis diiktiraf sebagai pejuang dan perjuangan mereka hendak dimasukkan ke dalam buku teks.

Dalam satu kenyataan kepada Ismaweb.net hari ini, Ustaz Zamri, berkata jika dilihat pada fahaman komunisme itu sendiri, ianya bercanggah dengan akidah Islam iaitu mengingkari kewujudan Allah, perkara- perkara ghaib dan Hari Kiamat.

“Bukan itu sahaja, ia turut bercanggah dengan naluri manusia yang perlu pada keselesaan dengan cara yang betul, mempunyai sifat mementingkan diri dan hidup bermasyarakat.

“Golongan komunis menjadikan manusia seperti kilang seterusnya merampas hak milik mereka. Sebenarnya, pemimpin komunis selaku pemilik lebih bernafsu daripada orang-orang kaya di negara-negara kapitalis.

“Di negara kita, komunis telah meninggal sejarah yang terlalu kejam untuk diingat. Jadi apa perlu kita iktiraf mereka,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts