24 Ogos 1511, adalah tarikh keramat dalam sejarah orang Melayu. Pusat pentadbiran dan pelabuhan bagi Empayar Melayu Islam Melaka telah ditawan oleh Portugis. Ia adalah permulaan kepada satu siri panjang cubaan mengubah identiti negara dan bangsa yang memakan masa berkurun-kurun.
2. Yang jatuh adalah pelabuhan dan pusat pentadbiran Empayar Melaka. Adakah Empayar Melaka juga jatuh? Sudah tentulah tidak. Sebaliknya kita menyaksikan pusat pentadbiran Empayar Melaka yang berpindah ke Johor dan seterusnya hinggalah ke Pulau Bintan, Pulau Penyengat di kepulauan Riau Lingga. Kerajaannya ada, sultannya juga ada, rakyatnya juga masih ada.
3. Portugis sendiri selama 130 tahun di pelabuhan Melaka, tidak mampu pun untuk meluaskan jajahannya lebih jauh dari hanya beberapa kilometer di sepanjang pantai pelabuhan Melaka. Sebab itu kita tidak melihat kesan Portugis di Tampin atau Muar dan kawasan sekeliling yang berhampiran. Serangan dari orang Melayu ke atas Portugis di Melaka berterusan sama ada dari Johor atau Pahang atau Acheh.
4. Tetapi kelelahan orang Melayu melawan Portugis memudahkan Belanda untuk meluaskan jajahan takluknya selepas itu ke atas tanah Melayu. Kita melihat kesan peninggalan Belanda meluas di sepanjang pantai Barat dari Melaka, Kuala Linggi, Kuala Selangor hingga ke Pulau Pangkor. Dan pencapaian Belanda yang masih tidaklah besar sangat itu memudahkan pula British untuk misi penjajahan yang seterusnya.
5. British mula masuk ke Tanah Melayu pada 1786 melalui pajakan Pulau Pinang. Perjanjian Inggeris Belanda 1824 pula memindahkan pelabuhan Melaka ke tangan British. Perjanjian itu juga telah merasmikan perjanjian Raffles dan Temenggung Abd Rahman pada 1819 bekenaan pendudukan British di Singapura. Dengan penguasaan British terhadap tiga negeri yang kemudiannya digelar sebagai negeri-negeri selat, British dengan mudah berjaya campur tangan di dalam pentadbiran Perak melalui perjanjian Pangkor 1874. Dan ia membawa kepada banyak lagi campur tangan di negeri-negeri yang kemudiannya digelar negeri-negeri Melayu bersekutu.
6. Fasa seterusnya adalah penjajahan dalam bentuk yang agresif oleh British hingga membawa kepada banyak perubahan dalam sosiopolitik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Bukan hanya di negeri selat atau negeri Melayu bersekutu, sebaliknya telah merebak ke negeri Melayu tidak bersekutu dan Sabah Sarawak. Semua tahu mengenai penjajahan British dan kesan yang ditanggung oleh negara hingga kini.
7. Berbalik kepada persoalan kita yang asal berkenaan tragedi 24 Ogos …. apakah pentingnya tarikh itu kepada umat Melayu Islam untuk diingati dan diwariskan kepada anak cucu? Bukankah yang jatuh hanya pelabuhan Melaka dan bukan empayar secara keseluruhannya?
8. 24 Ogos adalah permulaan kepada penentangan secara langsung Barat kepada Tanah Melayu. Kita kena faham bahawa yang datang pada Ogos 1511 itu adalah Portugal yang telah menjatuhkan Andalus (dan sekutunya Sepanyol telah pergi ke Filipina). Ia adalah kesinambungan misi salib yang telah bermula sejak sekian lama di sebelah dunia Arab-Afrika-Eropah.
9. Penjajah datang silih berganti dan bertukar tangan. Kejayaan British mengaut sebanyak-banyaknya hasil dari Tanah Melayu tidak akan berjaya jika tidak dimulai dengan usaha kecil Portugis menawan pelabuhan Melaka. Sedikit kecuaian pada 24 Ogos 1511 membawa kesan yang panjang kepada entah berapa generasi hingga kini. Dan untuk mengembalikan Empayar Melaka seperti zaman kegemilangannya dahulu masih tidak dijumpai lagi jalannya hingga sekarang.
10. Setiap peristiwa akan sentiasa berulang. Watak dan latar tempat berbeza tetapi sebab dan faktor tetap sama. Tragedi 24 Ogos mengajar kita erti kesetiaan dan semangat juang. Juga mengajar kita kesan buruk pengkhianatan dan sikap pengecut. Umat sepanjang zaman perlu membuang pengkhianat dan sentiasa menyemai makna kesetiaan kepada anak bangsa.
11. Sikit kesilapan membawa kesan dan akibat yang panjang.
Dari situ fahamlah kita bahawa peranan dalam umat ini perlu dimainkan sebaiknya tanpa mengira posisi mana pun kita. Benarlah kata sebahagian ulama’ bahawa setiap ‘lubang kecil’ Islam perlu dijaga oleh umat Islam. Satu ‘lubang kecil’ berjaya ditembusi ia akan membawa kepada runtuhnya umat di satu masa akan datang.
أنت على ثغرة من ثغر الإسلام فلا يؤتين من قبلك
“Kamu berada di satu titik sasaran daripada titik-titik sasaran dalam Islam. Maka pastikanlah musuh tidak masuk melalui titik sasaran kamu itu.”
Wallahu a’lam
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden ISMA
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)