SHAH ALAM – Setiap ujian yang dihadapi bukanlah sebagai pengakhir kehidupan tetapi ia perlu dilihat sebagai titik perubahan dan permulaaan dalam meneruskan kehidupan.
Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, ramai tokoh masyarakat yang membantu golongan yang memerlukan mampu berdiri sendiri dan tidak mengeluh dengan ujian yang mereka hadapi.
“Mereka tidak merasakan ujian sebagai jalan penamat tetapi ia dianggap sebagai permulaan. Kita dapati mesej yang sama dalam surah Al Balad, Al Insyirah dan Ad Dhuha iaitu perlu ada kekuatan dan motivasi untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada siri 2 Wacana Al-Quran yang bertajuk Antara Nasi dan Buku yang disiarkan menerusi portal Sinar Harian Online semalam. Program itu dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas.
Wacana itu juga menampilkan Pengasas dan Pengerusi Koperasi Azlan Al-Amin Group, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali dan dikendalikan oleh Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail dan qari jemputan, Ustaz Husaini Mahmur.
Mohd Daud yang juga Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia berkata, ketika berdepan dengan penularan koronavirus (Covid-19), pelajar, pensyarah di universiti dan ibu bapa perlu membina impian baharu.
“Berdepan dengan wabak berkenaan, pelajar perlu membantu keluarga dan pandai menyimpan wang untuk masa hadapan yang semakin mencabar.
“Masalah yang dihadapi dalam kalangan pelajar universiti ialah kebanyakan mereka tidak ada tujuan, berjalan tanpa jiwa. Sedangkan jika ingin berjaya, jiwa mereka perlu mempunyai tujuan yang jelas,” katanya.
Beliau berkata, pelajar perlu mengambil contoh Zulkarnain yang bijak dan berani yang diceritakan dalam al-Quran.
“Generasi baharu perlu berketerampilan, mengurus masa dan wang, mempunyai kreativiti dan kebijaksanaan serta keberanian,” katanya.
Dalam wacana sama, Mohd Daud mengajak mereka yang berjaya dan golongan korporat untuk melihat wakaf dalam bentuk yang baharu.
“Ketika penularan Covid-19, kita menggalakkan golongan korporat mewakafkan data kepada pelajar. Dengan adanya data, ia membantu pelajar untuk belajar dengan lebih baik dan menghantar tugasan dengan lebih mudah kepada pensyarah.
“Kenapa kita tidak membawa satu pendekatan yang sesuai dengan agama kita. Ketika ini, pihak korporat juga boleh mewakafkan apa yang diperlukan oleh masyarakat,” katanya. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)