KUALA LUMPUR: Dua ulama terkemuka antarabangsa menyifatkan Malaysia negara Islam terbaik dari segi amalan kebebasan bersuara dan berjaya menangani masalah menerusi cara tersendiri dengan memastikan keselamatan dan keamanan dinikmatinya kekal.
Ulama dari Iraq, Al-Sheikh Al-Sayyid Afeefuddin Al-Jailani, berkata Malaysia yang rakyatnya berbilang bangsa dan agama, juga adalah contoh negara Islam yang diberkati dengan kerajaan dan rakyat mencuba yang terbaik untuk kepentingan semua.
Beliau mengakui Malaysia tidak seratus peratus sempurna, namun kepemimpinan sedia ada berjaya menangani setiap permasalahan, sama ada di dalam atau luar negara dengan hikmah agar kedudukan baik dikecapi sekarang tidak tergadai.
“Mana ada negara Islam lebih baik daripada Malaysia dalam kebebasan bersuara rakyatnya,” katanya dalam temubual eksklusif bersama BH di Balai Berita, di sini hari ini.
Beliau turut mengajak semua pihak melihat kembali kesan buruk daripada peristiwa kebangkitan Arab atau ‘Arab Spring’ di beberapa negara di Asia Barat.
“Kita tengok kebangkitan Arab yang kini memusnahkan,” katanya yang berada di Malaysia bagi menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul ke-15 dan Haul Al-Sheikh Abdul Qadir Al Jailani yang akan diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Sabtu ini.
Afeefuddin yang juga Pengerusi Al-Wariseen Trust & Darul Jailani International, berkata adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam di Malaysia untuk memelihara keamanan.
“Jangan biarkan sebarang percikan kecil memusnahkan negara ini,” katanya ketika ditanya mengenai isu penyatuan umat Islam di negara ini dan di peringkat antarabangsa, termasuk di Asia Barat.
Ulama terkenal Amerika Syarikat kelahiran Syria, Al-Sheikh Dr Muhammad Bin Yahaya Al-Ninowy yang turut hadir pada sesi temubual itu, berkata Malaysia yang majoriti rakyatnya penganut Islam, berjaya mengurus negara dengan cara tersendiri.
“Malaysia adalah sebahagian nusantara yang menerima Islam lebih 700 tahun dulu. Kita lihat bagaimana orang di sini terima Islam dengan kasih sayang, bersama kasih sayang, demi kasih sayang. Negara ini juga menjadi pusat penyebaran Islam,” katanya.
Mengenai masalah penyatuan yang membelenggu umat Islam sehingga dikaitkan dengan keganasan, Sheikh Muhammad menegaskan, ia berpunca dari umat Islam sendiri.
Sehubungan itu, beliau mengajak setiap umat Islam melakukan reformasi rohani sebelum bercakap soal reformasi politik kerana perjuangan yang sebenar bermula dari dalam diri.
“Jangan kita arahkan (tuding jari) kesalahan kepada pihak lain. Punca masalah pada kita sendiri. Jika kita bersama (bersatu), maka Allah SWT bersama kita, tapi kita tidak bersatu,” katanya. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
Sertai kempen Malaysia Subuh Berjemaah Bebaskan Al-Aqsa: bit.ly/subuhaqsa
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)