SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa ulama dan cendekiawan Islam mentafsirkan ajaran agama Islam berdasarkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah serta daripada sumber yang sahih dan benar.
Baginda juga berharap ulama dan cendekiawan Islam tidak menggunakan tafsiran ekstrem atau keterlaluan terhadap sesuatu permasalahan agama yang membabitkan umat Islam sehingga boleh memecahbelahkan masyarakat Islam di negara ini.
“Permasalahan agama yang membabitkan masyarakat Islam perlu diselesaikan secara muafakat dan baik tanpa perlu dibahaskan secara terbuka bagi mengelak perdebatan yang mengundang kepada kekeliruan dalam masyarakat.
“Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Islam agama Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
“Melalui peruntukan ini, menjadi hasrat Parlimen yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan negara untuk menjadikan agama sebagai punca kepada perpaduan, keamanan, kedamaian dan ketenteraman yang juga anugerah tertinggi daripada Allah SWT,” titah baginda ketika berucap sempena ulang tahun ke-30 Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), semalam.
Sultan Sharafuddin bertitah, perasaan hormat antara kaum dan agama adalah teras kepada Rukun Negara yang menekankan kesopanan serta kesusilaan dalam konteks perhubungan antara kaum.
“Institusi raja memainkan peranan penting bagi memastikan penyatuan pelbagai kaum, budaya dan agama ini akan sentiasa terpelihara sebagai tunggak utama kemakmuran negara.
“Institusi raja akan terus kekal sebagai satu badan berkecuali mengatasi politik dan berperanan memberi nasihat serta teguran kepada kerajaan dan institusi agama terutama dalam soal memelihara perpaduan kaum.
“Matlamat utama perpaduan bagi memastikan rakyat hidup harmoni dan negara dapat mengecapi kemakmuran,” titahnya.
Sultan Sharafuddin bertitah, tema sambutan ulang tahun IKIM iaitu Keharmonian dalam Perbezaan Agama amat bertepatan dalam keadaan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini yang sedang berkembang pesat.
“Negara kita perlu mewujudkan satu bangsa Malaysia yang boleh hidup dalam suasana harmoni dan bersatu-padu walaupun lahir dalam kalangan masyarakat pelbagai bangsa, agama serta budaya.
“Beta tidak menafikan setiap bangsa dan agama dianuti masyarakat di negara ini adalah berbeza, namun sikap hormat menghormati serta toleransi sangat penting dalam menyantuni perbezaan ini.
“Perbezaan agama dan bangsa tidak seharusnya menghalang masyarakat berbilang bangsa dan agama hidup bersama dalam suasana aman dan sejahtera,” titah baginda.
Baginda juga menyedari walaupun setiap penganut agama berbeza dari segi kepercayaan, akidah dan amalannya, namun agama berperanan membimbing manusia melalui nilai murni yang terkandung dalam ajaran setiap agama.
Titah baginda, agama Islam khususnya berperanan menyusun kehidupan manusia yang mana sejarah awal Islam, Piagam Madinah diwujudkan di bawah kepimpinan Rasulullah SAW bertujuan menyusun masyarakat majmuk daripada pelbagai keturunan, suku kaum dan agama yang menetap di Madinah.
“Perbincangan dan persetujuan yang dicapai bersama dengan masyarakat bukan Islam ketika itu terhasil atas prinsip Islam dan kepimpinan Rasulullah SAW yang mendokong keadilan, kebenaran dan kasih sayang sesama manusia.
“Beta yakin jika masyarakat berbilang bangsa dan agama di Malaysia bersedia mengamalkan sikap berganding bahu dan menghormati anutan agama masing-masing, Insya-Allah segala niat dan usaha murni dalam memartabatkan agama serta memperkukuhkan hubungan rapat dalam masyarakat dapat dicapai,” titah baginda.- Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM