Ulama Rohingya berjiwa kental

 

ULAMA hadis Rohingya, Maulana Safiuddin yang pernah menuntut bersama bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di salah sebuah universiti di India suatu ketika dahulu turut menjadi pelarian di Kem Thankhali, Cox Bazaar, Bangladesh, baru-baru ini.

Beliau yang terpaksa lari dari kampung halamannya di Arakan baru-baru ini kini menjadi pelarian dan tinggal di kem berkenaan dalam keadaan sedih dan memilukan.

“Saya pernah belajar bersama Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat di Lucknow, India suatu masa dahulu.

“Nik Abdul Aziz seorang pelajar yang pintar dan hebat semasa bersama belajar dengannya dahulu,” katanya hiba.

Safiuddin memberitahu, beliau turut mengetahui Nik Abdul Aziz adalah seorang ahli politik dan pemimpin gerakan Islam yang terkenal di Malaysia. Beliau turut bersedih kerana tidak dapat menemui semula Nik Abdul Aziz sebelum beliau meninggal dunia.

Menurutnya, beliau bersama masyarakat Rohingya di Arakan menghadapi kesulitan dalam perjuangan hidup masing-masing kerana terpaksa lari dari bumi sendiri dan meninggalkan madrasahnya selepas operasi pihak tentera membunuh kaum kerabatnya di sana sejak Ogos lalu.

Namun begitu beliau terus berdoa agar semua penduduk Rohingya yang berlindung di Bangladesh pada waktu ini dapat kembali ke kampung halaman masing-masing suatu masa nanti bagi meneruskan kehidupan seharian di sana.

Sementara itu Timbalan Presiden, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam (Mapim), Zulkifly Ibrahim, berkata kecekalan Safiuddin mengembangkan ajaran Islam di madrasahnya di Arakan patut mendapat pujian dan sokongan umat Islam di seluruh dunia.

Menurutnya, pertemuannya dengan ulama berkenaan secara kebetulan di Cox Bazaar, memberikan kesan dalam jiwanya.

“Dia seorang yang berjiwa kental tetapi dikecewakan junta Myanmar di Arakan sehingga terpaksa lari ke Bangladesh bagi mendapatkan perlindungan sementara.

“Saya berharap ada pihak sudi membantu mereka di sana dan berusaha mengembalikan mereka ke tanah air sendiri suatu masa nanti,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts