KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, umat Islam bertanggungjawab dan berperanan dalam setiap usaha memartabatkan institusi Islam demi kemajuan, kelangsungan dan kesejahteraan ummah.
Titah baginda, setiap institusi atau agensi agama perlu dipastikan diuruskan dengan baik mengikut konsep tadbir urus Islam yang bijaksana dan mampan.
“Institusi berkaitan hal ehwal Islam perlu memberi fokus yang khusus dalam menjaga maslahah agama, melaksanakan pendekatan dakwah dan tarbiah demi memastikan pemeliharaan perpaduan ummah,” titah baginda ketika menyampaikan ucap tama dan merasmikan The International Seminar On Tajdid di Auditorium Islamia College, Rylands Estate, Cape Town, Afrika Selatan baru-baru ini.
Seminar tersebut dianjurkan oleh Awqaf South Africa dengan kerjasama International Peace College South Africa (IPSA), Medina Institute, Islamia College dan Majlis Agama Islam Afrika Selatan (MJC) yang dihadiri oleh para ilmuan, sarjana dan para penggerak pelbagai organisasi umat Islam di negara tersebut.
Terdahulu, baginda dan Raja Puan Muda Perlis berkenan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian hasrat kerjasama oleh MAIPs dengan Awqaf SA di Cape Town sempena program Safar Ilmi MAIPs ke Afrika Selatan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor menandatangani bagi pihak MAIPs manakala Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Mickaeel Collier pula mewakili Awqaf SA dengan hasrat untuk bekerjasama dalam bidang wakaf terutamanya yang melibatkan kerjasama program di peringkat global.
Selain itu, turut dilaksanakan ialah beberapa sesi perbincangan strategik antara MAIPs dengan beberapa pihak lain seperti Majlis Agama Islam Afrika Selatan (MJC), Imam Development Program dan Yayasan Aliman.-UTUSAN
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM