Umat Islam di Myanmar dihapus secara sistematik

 

KUALA LUMPUR: Satu kajian badan bukan kerajaan (NGO) mendapati kerajaan Myanmar bersama kumpulan ekstremis Buddha menjalankan penghapusan sistematik terhadap komuniti Muslim di negara itu.

Perkara itu dimaklumkan seorang saksi pendakwa raya kepada barisan panel tujuh hakim Permanent People’s Tribunal (PPT) di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya di sini, hari ini.

Pengarah Eksekutif Burma Human Rights Network (BHRN), Kyaw Win, yang berpangkalan di London, berkata kajian antara Mac 2016 hingga Januari lalu mendapati penghapusan terancang itu dilakukan dengan mewujudkan elemen Islamofobia dalam kalangan masyarakat Myanmar beragama Buddha, khususnya kanak-kanak, selain melalui perundangan berat sebelah.

Katanya, kerajaan Myanmar menafikan hak kepada orang Islam, antaranya menyingkirkan mereka daripada tentera, polis dan jawatan tertinggi dalam politik negara, selain membekukan jawatan mereka.

“Ketika ini, tiada orang Islam diambil sebagai tentera, polis dan politik. Ahli politik Islam dalam kerajaan sebelum ini dihantar menjadi duta ke negara lain.

“Analisis kami mendapati Muslim yang aktif dalam parti tidak diberi peluang bertanding dalam pilihan raya. Aung San Suu Kyi menghalang mereka menjadi calon walaupun memiliki latar belakang kuat dalam gerakan nasionalisme etnik.

“Muslim Myanmar yang sudah berada dalam tentera pula dibekukan jawatan untuk kekal pada pangkat rendah sedangkan rakan mereka beragama Buddha dinaikkan pangkat.

“Malah, ada tawaran diberikan kepada Muslim Myanmar berpengalaman dalam pekerjaan tertentu seperti tentera dan saintis untuk bertukar agama kepada Buddha untuk naik pangkat.

“Perkara ini juga mula berkembang dalam bidang pendidikan. Kawasan yang memiliki jumlah penduduk Islam yang tinggi tidak akan diberikan guru yang berkualiti, selain memiliki kadar kegagalan pelajar yang sangat tinggi,” katanya ketika prosiding PPT di sini, hari ini.

Win berkata, kumpulan pelampau Buddha iaitu Ma Ba Tha juga dikenali sebagai Gerakan 969 diketuai sami militan Myanmar, Ashin Wirathu, giat menyebarkan sentimen anti Muslim dengan bergerak ke seluruh negara lebih 20 kali sebulan.

“Ma Ba Tha mengawal kira-kira 7,000 sekolah yang dikendali sami mereka untuk menyebar sentimen anti Muslim, namun mereka laksanakan tanpa buku teks atau dokumen sebagai bukti, hanya menerusi ucapan.

“Antara sentimen yang kerap digunakan adalah meminta ratusan pelajar mereka tidak membeli daripada peniaga Muslim kerana kononnya wang itu akan disalur pada masjid bagi membantu mengahwini orang beragama Buddha, sekali gus menukar agama mereka kepada Islam,” katanya.

Win berkata, menerusi Citizenship Law 1982, kerajaan Myanmar berjaya menghalang orang Islam khususnya Rohingya mendapat kerakyatan penuh memandangkan tiada dokumen membuktikan keluarga mereka sudah menetap di negara itu sejak 1824, iaitu sebelum perang Anglo-Burma.

Katanya, kerajaan juga mewujudkan 21 kawasan bebas Muslim, selain meluluskan satu perundangan selepas rampasan kuasa tentera pada 1962, bagi melarang pembinaan rumah ibadat selain bagi agama Buddha.

“Hanya orang Myanmar diiktiraf boleh mendapat kerakyatan penuh. Permohonan individu beragama Islam, khususnya Rohingya tidak diterima, sekali gus menidakkan mereka pada hak kemanusiaan asas.

“Menyebut perkataan Rohingya juga menjadi satu jenayah,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts