KUALA LUMPUR: Umat Islam dinasihatkan untuk tidak terlibat atau mengambil bahagian di dalam sambutan Hari Thaipusam yang berlangsung pada Ahad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan perkara itu kerana Thaipusam merupakan acara peribadatan agama yang khusus kepada para penganutnya.
“Nasihat ini adalah berpandukan ketetapan panduan yang telah dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.
“Panduan itu antaranya menjelaskan umat Islam dilarang daripada terlibat apa-apa ritual perayaan agama bukan Islam kerana ia bertentangan dengan prinsip akidah Islam,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohd Na’im menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menghormati perayaan setiap agama di negara ini kerana ia adalah asas kerukunan hidup yang harmoni di antara penganut agama.
Malah katanya, Agama Islam juga menyeru supaya umat Islam sentiasa menjaga kerukunan dalam masyarakat.
“Perpaduan dalam konteks kemajmukan masyarakat di Malaysia terus direalisasikan menerusi sikap dan amalan saling hormat menghormati terhadap tatacara kepercayaan setiap ajaran agama masing-masing.
“Keharmonian dalam bernegara adalah kunci perpaduan, keamanan jua kemakmuran negara,” katanya. — AlHijrah Online
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM