KUALA TERENGGANU: Umat Islam di negeri ini disaran tidak menunggu sehingga saat akhir untuk membayar zakat fitrah.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Ismail, berkata seramai 954 amil ditugaskan untuk memudahkan seluruh umat Islam menunaikan zakat fitrah, termasuk 17 ejen bagi melancarkan pengurusan zakat di negeri ini.
Katanya, selain menunaikan zakat fitrah melalui amil, umat Islam juga boleh menunaikan zakat fitrah melalui dalam talian selain melalui kuanter bergerak.
“Semua amil yang dilantik sudah memulakan melaksanakan tugas sejak awal Ramadan, terutama di masjid dan surau di seluruh negeri.
“Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memperkenan dan menetapkan tiga kategori kadar zakat fitrah untuk tahun ini iaitu RM8, RM10 dan RM24,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, MAIDAM menyasarkan jumlah kutipan zakat tahun ini adalah sebanyak RM260 juta, berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM228.3 juta.
“Jumlah kutipan zakat tahun lalu meningkat sebanyak 11 peratus berbanding RM205 juta kutipan pada tahun 2021,” katanya.
Sementara itu, tinjauan ke Masjid Abidin dan Masjid Al-Muktafi Billah Shah Ladang mendapati suasana lenggang walaupun 11 kaunter zakat disediakan jawatankuasa masjid.
Seorang amil, Ismail Muda, 68, berkata suasana lenggang di kaunter bayaran zakat berlaku disebabkan umat Islam mempunyai pilihan untuk menunaikan rukun Islam keempat.
Katanya, walaupun mempunyai pelbagai pilihan dan kemudahan disediakan MAIDAM untuk menunaikan zakat, tetapi umat Islam disaran tidak menunggu sehingga ke saat akhir bagi mengelakkan terlepas membuat pembayaran.
“Ketika sambutan Aidilfitri tahun lalu, kita dan beberapa lagi amil terpaksa bertugas sehingga jam 4 pagi berikutan kaunter diserbu umat Islam untuk menjelaskan bayaran zakat.
“Ada antara amil terpaksa menggunakan buku tulis biasa untuk mencatatkan nama pembayaran zakat berikutan kehabisan buku resit yang dibekalkan MAIDAM,” katanya.
Ketika mengulas dakwaan sambutan Aidilfitri tahun ini diadakan secara mengejut seperti tahun lalu, Ismail berkata, bagi mengelakkan kaunter zakat diserbu dan amil terpaksa bertugas sehingga lewat pagi, umat Islam diminta tidak menunggu sehingga saat akhir untuk menunaikan bayaran zakat.
Seorang lagi amil, Mohd Azrul Hafiz Alias, 35, berkata jawatankuasa Masjid Abidin atau lebih dikenali dengan nama ‘Masjid Putih’ menyediakan enam kaunter zakat dan beroperasi daripada jam 9 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.
Berdasarkan pengalaman sepanjang lebih tiga tahun dilantik sebagai amil, katanya, umat Islam kebiasaannya akan membuat pembayaran zakat satu minggu sebelum Aidilfitri.
“Selain perkhidmatan pembayaran zakat fitrah, umat Islam juga boleh menunaikan zakat perniagaan dan harta serta zakat simpanan di semua kaunter zakat,” katanya. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM