PUTRAJAYA – Rata-rata umat Islam mengecam apabila masjid dan tanah perkuburan Islam dijadikan lokasi carian permainan telefon mudah alih Pokemon Go.
Berdasarkan tinjauan Ismaweb di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Persint 3, Putrajaya, kebanyakan mereka tidak bersetuju dan kesal apabila permainan itu membabitkan tempat bagi umat Islam beribadat.
Nur Zatil Imani, 21, berkata beliau tidak bersetuju apabila masjid menjadi tumpuan kepada pemain aplikasi itu dan menyifatkan ia sebagai penghinaan terhadap tempat ibadat orang Islam.
“Nak main tiada masalah, tetapi kena jaga adab dan sopan. Namun, apabila masjid dijadikan sasaran, bagi saya ia umpama satu penghinaan kepada kita,” katanya.
Bilal Masjid Tuanku Mizan, Wan Ahmadi berkata, tidak sepatutnya masjid mahupun surau dijadikan lokasi untuk bermain permainan yang melalaikan itu.
Malah, beliau mahu masyarakat khususnya umat Islam sendiri menghormati masjid sebagai tempat ibadah dan mencari ilmu.
“Bagi saya, mahu bermain Pokemon Go tiada halangan, kerana itu adalah hak individu. Tetapi, bukan di dalam masjid. Di sini bukan tempat untuk membawa masuk permainan duniawi. Itu hanya buang masa,” kata Tajul Mohamad.
‘Tiada hak nak halang’
Sementara itu, pengawal keselamatan masjid, Siti Hajar Mail berkata, beliau tidak mempunyai hak untuk menghalang atau merampas telefon sekiranya terdapat individu yang bermain aplikasi itu di masjid.
Namun tegasnya, walaupun permainan itu mungkin tidak menganggu jemaah lain untuk beribadat, namun ia seolah-olah tidak menghormati tempat itu.
“Walaupun tidak ganggu jemaah lain untuk solat dan sebagainya, tetapi ia tetap tidak sesuai untuk dibawa masuk ke sini (masjid),” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata, permainan Pokemon Go perlu ada had dikenakan supaya institusi agama tidak tercemar dalam keasyikan masyarakat terhadap permainan itu.
Othman berkata, adalah tidak elok sekiranya seseorang pergi ke tempat-tempat ibadat hanya untuk bermain permainan itu, malah beliau berpendapat permainan tersebut turut telah mendatangkan pelbagai mudarat.
Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/08/umat-islam-kecam-masjid-jadi-lokasi-carian-pokemon-go/
www.indahnyaislam.my