Umat Islam perlu bersatu bantah kenyataan Emmanuel Macron

 

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini perlu bersatu menentang kenyataan provokatif Presiden Perancis, Emmanuel Macron berhubung usahanya mempertahankan nilai sekular bagi memerangi kumpulan radikal Islam.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasarudin Hassan berkata, kenyataan itu bukan sahaja akan lebih menggalakkan Islamophobia, malah dikhuatiri akan menimbulkan lebih banyak ketegangan dan keganasan.

Beliau berkata, sebagai pemimpin negara, Macron sepatutnya bertindak bagi mencari jalan yang boleh membawa perdamaian untuk semua, bukannya ‘menyiram bahan bakar’ ke atas api yang sedang membara.

Beliau turut menegaskan bahawa Islam adalah agama yang sentiasa memilih kepada keamanan dan kedamaian.

“YADIM turut senada dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamed Al Bakri dalam surat yang diutus kepada Duta Perancis ke negara ini yang menyatakan keganasan adalah sesuatu yang perlu dielakkan, terutama membabitkan golongan muda,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Macron berikrar akan berjuang untuk menentang kumpulan radikal Islam selepas tragedi seorang guru sejarah dipenggal pada 16 Oktober lalu kerana menunjukkan gambar Nabi Muhammad SAW kepada pelajarnya.

Bagaimanapun, kenyataan pemimpin itu mengundang kritikan penduduk Islam seluruh dunia termasuk ada yang membakar gambar Macron di Syria dan Pakistan selain membakar bendera Perancis di Tripoli, Libya.

Nasarudin berkata, pihaknya percaya keganasan tidak melambangkan tindakan oleh mana-mana agama di dunia ini.

Katanya, malangnya, Macron mencipta kontroversi apabila beliau dengan sinis menyatakan Islam adalah sebuah agama yang dilanda krisis di seluruh dunia.

“Pada masa ini umat Islam di seluruh dunia seperti di Pakistan, Gaza, Lubnan, Iraq, Syria dan Jordan telah bangkit menyatakan kemarahan mereka atas kenyataan provokatif beliau.

“Di beberapa pasar raya di negara Kuwait, Jordan dan Qatar sudah memboikot produk keluaran Perancis sebagai membantah tindakan Presiden Perancis itu.

“Saya percaya, ia satu tindakan awal pantas dilakukan sebagai menyentak keangkuhan Macron dan pemimpin sepertinya agar tidak lagi mengulangi perbuatan sama di masa depan. Meskipun perkara ini berlaku di Perancis, namun umat Islam di negara ini tidak boleh memandang sepi dan mengabaikan perkara yang berlaku itu,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts