TRANG (Thailand) – Islam melarang sebarang kerjasama yang membawa kepada keburukan, sebaliknya menyeru umatnya bersatu ke arah kebaikan dan ketakwaan, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah umat Islam hidup dalam keadaan yang sejahtera, justeru mereka juga perlu memastikan sesiapa yang berurusan dengan mereka turut merasai kesejahteraan itu.
“Tiada tempat dalam agama ini keganasan, sikap yang keras, enggan menyertai perkara-perkara yang baik dan bersikap inklusif berhubung dengan kebajikan.
“Ini bukan sikap umat Islam yang merupakan pembawa rahmat untuk seluruh alam,” titah baginda ketika berkenan menutup seminar Ummatan Wahidah 2018 di sini, hari ini.
Seminar anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama Majlis-majlis Agama Islam (MAI) enam wilayah Andaman adalah bersempena program Ziarah Mahabbah MAIPs ke Trang yang disertai baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Antara anggota panel pada seminar yang dihadiri lebih 400 peserta dari Perlis dan Thailand itu ialah Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Rektor Universiti Fatoni Dr Ismail Lutfi Abdul Rahman Japakiya.
Terdahulu, baginda berkenan menerima kunjungan mengadap hormat oleh enam Yang Dipertua MAI wilayah Andaman iaitu Krabi, Phuket, Trang, Panga, Satun dan Ranong.
Pada perjumpaan itu baginda turut mengingatkan enam Yang Dipertua MAI terbabit agar memastikan setiap masjid memainkan peranannya sebagai ‘markaz talluf’ atau pusat penyatuan hati umat Islam.
“Umat Islam khususnya golongan belia seharusnya digalak serta didorong menghadirkan diri, memakmurkan dan mengimarahkan masjid atau musolla yang ada di sekeliling mereka.
“Hindarilah perkara yang ditegah atau sia-sia di dalam masjid dan sentiasalah bermusyawarah dalam mencapai keputusan dan janganlah menimbulkan perbalahan sesama masyarakat,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin juga bertitah kesatuan umat sangat penting untuk sama-sama membina tamadun atau peradaban yang tinggi. – Bernama
www.indahnyaislam.my
Sertai kempen Malaysia Subuh Berjemaah Bebaskan Al-Aqsa: bit.ly/subuhaqsa
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)