Umat Islam perlukan strategi pembebasan Baitulmaqdis, tidak cukup sekadar kecaman dan demonstrasi

 

ISTANBUL – Umat Islam di seluruh dunia tidak boleh lagi hanya sekadar mengecam dan mengutuk, jika benar-benar mahu menyelesaikan isu Palestin, kata Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS), Syeikh Dr Ali Qurahdaghi.

Sambil menyeru supaya bantahan terhadap Amerika Syarikat (AS) dan rejim Israel diteruskan, beliau menggesa pemimpin dan umat Islam keluar daripada fasa selesa yang sekadar mengecam dan mengutuk sahaja.

Sebaliknya, kata beliau, umat Islam perlu berpindah ke fasa amalan dengan membuat perancangan dan strategi, khususnya berkaitan agenda penyatuan yang menjadi kunci pembebasan al-Aqsa.

“Inilah juga yang kita perhatikan dalam sejarah Islam apabila Al-Quds ditawan oleh Kristian dalam Perang Salib. Ulamalah golongan pertama yang mula menggariskan satu strategi dan perancangan bagaimana ingin membebaskan kota Al-Quds.

“Maka mereka memperbetulkan pemimpin politik pada kadar yang mereka mampu, mereka mendidik dan membangunkan madrasah yang akhirnya lahirlah mujahid-mujahid seperti Nuruddin Zinki dan Salahuddin al-Ayyubi yang menjadi kunci kepada pembebasan Baitulmaqdis,” katanya pada satu wawancara dengan Mekameeleen TV.

Mengulas lanjut katanya, umat Islam juga hendaklah membicarakan berkenaan pembebasan serta kemerdekaan Palestin daripada penjajahan, berbanding menyebut soal keamanan.

“Hakikatnya istilah menyelesaikan secara aman adalah retorik mereka (Israel) semata-mata, sedangkan apa yang mereka mahukan bukanlah penyelesaian secara aman tetapi penjajahan Palestin secara menyeluruh,” katanya.

Malah, Dr Ali berkata, perubahan fasa mengecam itu dapat melihat pihak yang ikhlas mahu membebaskan Baitulmaqdis, atau sebaliknya yang hanya menggunakan isu Palestin untuk kepentingan tertentu semata-mata.

“Kita perlu mula dari sekarang, sama ada dengan perancangan bantuan ekonomi atau apa sahaja yang memberi manfaat dalam isu Palestin,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts