Umat Islam wajib berpegang pada Al-Quran dan Sunnah

 

KANGAR – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah agar umat Islam wajib menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan untuk menyelesaikan permasalahan berkait perkembangan teknologi.

Baginda bertitah, kemampuan akal manusia sangat terbatas dan atas sebab itu Allah SWT menurunkan al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW sebagai panduan kepada umat manusia.

“Beta berdoa moga Allah SWT mengangkat martabat umat Islam yang cintakan ilmu, beramal dengan al-Quran dan sunah serta sentiasa berdampingan dengan ulama,” titah baginda ketika merasmikan Tilawah Al-Quran peringkat negeri di Dewan Warisan di sini malam tadi.

Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallullail.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Hamdan Bahari dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Sumber Manusia negeri Khairi Hassan.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah kekuatan dan kesejahteraan umat Islam berkait rapat dengan penghayatan dan amalan yang disyariatkan agama.

Untuk itu, kerajaan negeri perlu meneruskan aktiviti membudayakan ajaran Islam dalam kehidupan masyarakat dan pentadbiran agar Perlis menjadi negeri yang dirahmati seperti ketika zaman kegemilangan Islam dahulu, titah baginda.

“Beta amat sukacita kerana agensi-agensi yang menjaga kepentingan Islam di negeri ini menunjukkan kesungguhan dan sentiasa mengambil berat isu membabitkan umat Islam selain berusaha meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai Islam.

“Penganjuran tilawah al-Quran setiap tahun menjadi pentas untuk menyeru umat Islam agar meningkatkan pembacaan, memahami dan mengamalkan kandungan ayat-ayat suci al-Quran,” titah baginda.

Baginda bertitah Islam menyediakan panduan serta prinsip kepada umatnya dalam melakukan amalan agar tidak tersesat.

Baginda bertitah prinsip pertama ialah kefahaman daripada ilmu yang benar, menyeluruh, tidak memberatkan dan tidak pula meringankan manakala prinsip kedua ialah ikhlas terhadap matlamat yang ingin dicapai tanpa mengharapkan ganjaran.

“Seseorang yang mempunyai ilmu dan kefahaman tetapi pada masa sama juga mempunyai agenda tertentu maka amat mudah dia tergelincir atau mungkin juga tersasar,” titah baginda.

Pada majlis itu, Muhammad Anas Abdul Hadi muncul johan qari manakala Siti Aishah Md Arif dinobatkan juara qariah dan seterusnya mereka akan mewakili Perlis untuk ke tilawah peringkat kebangsaan di Melaka pada 31 Mac hingga 8 April depan.

Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan kepada pemenang hadiah wang tunai RM5,000, sijil, hadiah iringan dan pakej mengerjakan umrah.- Bernama

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts