1. Islam mendidik manusia mendekatkan diri dengan Allah. Ia mengikat hati manusia dengan Tuhan dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada perkara kenegaraan dan pemerintahan. Amat menghairankan apabila ada Muslim yang berjuang supaya ideologi sekular ini diterapkan dalam pemikiran manusia sedangkan secara konsepnya, ia jelas bercanggah dengan prinsip Islam.
2. Konsep sekular yang memisahkan agama daripada pemerintahan ini telah lama ditolak oleh Islam. Dalam takrif pemerintahan Islam, al-Imam al-Mawardi, al-Juwaini, al-Iji, Ibn Khaldun, dan al-Nasafi seakan sebulat suara menegaskan bahawa pemerintahan Islam adalah perkara yg melibatkan urusan mentadbir agama. Konsep ini masyhur dengan tema:
حراسة الدين وسياسة الدنيا به
“(Pemerintahan Islam adalah bagi): Menjaga agama dan mentadbir dunia”.
3. Antara sarjana Islam moden yang turut tegas dalam menolak konsep ini adalah Dr. Yusuf al-Qardawi. Antara kesimpulan yang menarik yang diungkapkan oleh al-Qardawi berhubung sekularisme ini adalah:
“Sesungguhnya sekularisme ini lahir di bumi yang bukan dari kawasan Muslim, dirangka untuk satu kaum yang bukan kaum Muslim, dalam satu kondisi yang bukan kondisi umat Islam, untuk menyelesaikan masalah yang bukan berlaku ke atas umat Islam.” (al-Qardawi, al-Tataruf al-Ilmani fi Muwajaha al-Islam, 236).
Jadi, melihatkan kepada asas kelahiran fahaman ini sahaja kita sudah tahu bahawa ianya muncul dari konteks yang berbeza dengan konteks umat Islam. Mengapa pula kita beriya untuk menanamkan ideologi sebegini dalam masyarakat kita?
4. Dr Atiyyah Saqr, Mufti Mesir, ketika ditanya berhubung ideology secularism ini menyatakan lapan percanggahan antara fahaman sekularisme dengan prinsip Islam. Dengan itu beliau dengan tegas menyatakan bahawa Islam menolak konsep sekularisme. Kenyataan ini direkodkan di dalam Fatawa Dar al-Ifta al-Misriyyah pada Mei 1997.
5. Badan Fatwa Arab Saudi (al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-Ilmiyyah wa al-Ifta) yang diketuai oleh Sheikh ben Baz pula menegaskan ideologi yang memisahkan Islam dari kehidupan sebagai aliran yang batil yang boleh membawa kepada kekufuran.
6. Beberapa badan kajian Islam di Malaysia seperti JAKIM turut meletakkan fahaman sekularisme ini sebagai sebahagian daripada ideologi liberalisme yang difatwakan sesat oleh banyak institusi Islam di Malaysia.
7. Secara umumnya, pemikiran sekular ini telah ditolak oleh ramai sarjana terkemuka Islam. Mereka melihat Islam sebagai panduan terbaik dalam memimpin kehidupan manusia. Islam mengingatkan manusia bahawa mereka dijadikan adalah bagi mengabdikan diri kepada Allah, bukan kepada manusia.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)