BANGI – Lebih 100 pertubuhan Melayu dan Islam bergabung membentuk Gerakan Pembela UMMAH bagi memperkasa kedaulatan Islam di negara ini.
Ditubuh melangkaui ideologi politik kepartian untuk mendesak pemerintah atas isu-isu umat Islam, Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, ini merupakan sebahagian tindakan yang sangat tepat dalam usaha memperjuang kepentingan Islam.
Jelas beliau, UMMAH memberi fokus kepada menyatupadukan umat Islam dan menjadi suara pendesak, mengukuhkan kedaulatan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, dominasi dan kekuatan umat Islam di dalam politik, mendesak dan memastikan pemerintah menerapkan nilai Islam dan memperjuang pemerkasaan institusi Islam negara.
“UMMAH akan menangani isu semasa yang dilihat semakin menghakis kedudukan Islam dan orang Melayu. Keceluparan pihak tertentu menghina Islam, penerapan unsur liberalisme bahkan kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan dalam isu berkaitan Islam menjadikan peranan UMMAH diperlukan.
“UMMAH sedar ada usaha halus pihak tertentu untuk mengubah fasa dalam Perlembagaan, penularan gerakan Evangelis, penghapusan identiti dan jatidiri bangsa Melayu.
“Sebab itu kita rasakan UMMAH perlu bangkit memperkasakan semula agenda Islam dan sama sekali tidak akan berkromponi dengan pihak yang sengaja mahu menghapuskan identiti Islam,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Antara gabungan NGO Islam dalam UMMAH adalah Kongress Rakyat, Pembela, Gabungan AMIN, PINTA, Ummat RUU355, Isma, PPIM dan lain lain.
Dengan anggaran ahli UMMAH lebih 100,000 orang, Haji Aminuddin berkata, UMMAH akan sentiasa bertindak dalam kerangka yang menghormati hak berperlembagaan semua rakyat Malaysia, Islam dan bukan Islam.
“Dalam masa terdekat, kami akan mengemukakan tuntutan kepada pemerintah, setakat ini akan ada lagi tokoh dan pemimpin Islam yang akan bersama-sama UMMAH bagi memperjuangkan matlamat yang sama,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my