Urus Emosi Sebagai Bapa agar Emosi Keluarga Juga Terurus.

Sebelum tahun 1960-an, ilmuan psikologi barat masih lagi tidak mengganggap bapa sebagai sosok penting dalam pembinaan psikologi seorang anak. Kebanyakkan kajian pada tahun-tahun sebelumnya hanya berkisar kepada peranan seorang ibu dalam keluarga. Sehinggalah pada tahun-tahun selepasnya, mereka mula tersedar dari lamunan panjang bila menyedari tentang kesan anak-anak yang membesar tanpa ayah. Pernah salah seorang Presiden Amerika Syarikat menyebut tentang masalah anak-anak yang membesar tanpa bapa sebagai ancaman kepada keselamatan sosial negara. Ini kerana kajian-kajian pada waktu itu mula menggetarkan mereka tentang bahaya ketiadaan sosok bapa yang berkesan kepada kehidupan anak.

Antara dapatan kajian kesan “fatherless children” ialah bagaimana lebih 70 peratus remaja yang tercicir dari system pendidikan merupakan anak yang membesar tanpa bapa yang bertanggungjawab dalam hidup mereka. Begitu juga dengan 80 peratus belia yang meringkuk di penjara juvana. Mereka juga mendapati daripada kajian-kajian selanjutnya bahawa kanak-kanak yang membesar dengan bapa yang hadir secara emosi dalam hidup mereka mengurangkan risiko masalah sosial, masalah mental dan masalah jenayah.

Apakah peranan bapa dalam perkembangan psikologi anak-anak?

Bapa berperanan penting dalam pembentukan identiti anak-anak sewaktu fasa mereka membina kepercayaan tentang siapa diri mereka. Ini termasuk pembentukan keyakinan diri, perkembangan sosial, perkembangan seksualiti dan perhubungan. Kepercayaan kepada bapa sebagai sumber keselamatan menjadi kerangka asas mereka dalam memahami cara manusia berhubung dengan sihat. Jika tidak, anak akan mengalami masalah susah percaya kepada orang lain atau terlalu percaya kepada orang lain sehingga membawa kepada perhubungan kelak. Bapa juga menjadi sumber bagi anak untuk belajar mengurus emosi dan menyelesaikan tekanan hidup. Jika bapa tidak menunjukkan contoh yang baik, bapa akan menjadi ikutan yang diwarisi anak kepada generasi seterusnya.

Bagaimana bapa boleh mengurus emosi sendiri supaya dapat membantu yang lain?

Oleh kerana besarnya peranan ayah dalam pembentukan emosi dan psikologi anak-anak, maka kerana itulah bapa perlu ambil dua tiga langkah kehadapan dalam mengurus emosi sendiri. Sebagaimana arahan keselamatan dalam kapal terbang – “dalam situasi kecemasan, pastikan anda memakai topeng oksigen untuk anda terlebih dahulu sebelum orang dalam jagaan anda”. Ini kerana, jika kita sendiri kelemasan, kita tak akan mampu menyelamatkan orang lain.

Pertama, bapa kena mengakui bahawa kita juga manusia yang terdedah kepada risiko tekanan hidup, stres dan masalah emosi. Jika kita memendam, bahkan lebih teruk cuba untuk menafikan, maka kita mungkin sebenarnya sedar membiak masalah dalam jiwa kita. Meluahkan, berkongsi perasaan dan meminta pertolongan saat kita berasa susah bukanlah tanda kelemahan. Bahkan terakam dalam Al-Quran pelbagai emosi manusia yang diluahkan oleh seorang lelaki, termasuk yang bergelar bapa.

“Dan dia (Yaakub) berpaling daripada mereka (anak-anaknya) seraya berkata, “Aduhai sedihnya aku mengenang Yusuf,” dan kedua-dua matanya menjadi buta kerana sedih. Dia diam menahan amarah (terhadap anak-anaknya.” (Surah Yusuf: 84- 86)
Begitu juga dengan kisah perbualan di antara Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar sewaktu hijrah yang saling menyokong kebimbangan seorang sahabat dalam kegetiran perjuangan dakwah.

Ini sekaligus menolak mitos bahawa lelaki harus sentiasa kuat dan menelan apa sahaja beban emosi sehingga akhirnya memakan diri. Bersikap jujur dengan kesempitan dan meminta bantuan sewaktu kita memerlukan juga adalah tanda bapa yang qawwam.

Jaga hak Asasi Seorang Bapa

Selain itu memastikan seorang bapa perlu menjaga hak asasi kepada tubuh badan seperti rehat yang mencukupi, makanan yang seimbang, elakkan perkara yang membahayakan Kesihatan, aktiviti fizikal secara konsisten dan tidur yang cukup. Semua ini adalah asas yang penting kepada kesihatan mental dan fizikal.

Seorang bapa juga perlu ada sokongan sosial yang baik, termasuk terlibat dengan masyarakat dengan aktiviti yang melibatkan kebersamaan. Selain itu, seorang bapa perlu berfikiran positif, kreatif dalam menyelesaikan masalah dan mempunyai perancangan hidup yang teliti. Ini bagi memastikan kelancaran urusan kehidupan, disamping menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dalam mengatur tuntutan kehidupan.

Akhirnya tiga asas penting yang perlu dimiliki oleh seorang bapa dalam isu ini. Keinginan untuk selalu muhasabah diri, kesediaan untuk terus belajar dan kemahuan untuk memperbaiki diri. Apabila seorang bapa sedar pentingnya dia mengurus emosinya demi anak-anak, dia akan melihat isu ini sebagai antara urusan penting yang perlu selesai dalam keluarga.

Dr Rozanizam Zakaria
Pakar Psikiatri, felo psikiatri kanak-kanak dan remaja (Perth, Australia), aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dan bapa empat orang cahaya mata.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts