PERIHAL halal menjadi antara isu hangat yang sering dibincangkan sejak dahulu di negara ini. Susulan itu, Malaysia sangat terkehadapan dalam pengurusan halal hingga menjadi rujukan banyak negara lain.
Misalnya, berdasarkan statistik di portal Halal JAKIM, sehingga November 2023, sebanyak 7,000 syarikat tersenarai dan dipersijilkan halal, manakala Halal Development Corporation Bhd (HDC) menjangkakan saiz pasaran berkembang kepada AS$5 trilion (RM23.4 trilion) menjelang 2030.
Bagaimanapun, dalam kalangan masyarakat Malaysia masih terdapat segelintir yang memandang remeh mengenai keperluannya. Sebagai negara dengan umat Islam teramai, masih ada premis makanan popular yang gagal memperoleh sijil halal. Lebih malang, sesetengah kedai itu diketahui dikunjungi ramai pengunjung beragama Islam.
Hal ini terjadi kerana kelalaian kedua-dua pihak. Jika di satu pihak sukar mendapatkan sijil halal, mengapa pula anda sebagai pelanggan masih memilih untuk menjamu selera di kedai berkenaan? Ada kala istilah pork free sudah mampu menjadi umpan terlaris untuk segelintir umat Islam menikmati hidangan di situ, meskipun ia tidak mempunyai sijil halal yang sah, malah turut menjual arak.
Sesetengah kita suka mengambil mudah isu sedemikian, malah ada yang menyamakan kedai popular itu setaraf dengan perniagaan pasar malam milik orang Islam yang beroperasi tanpa sijil halal. Perbandingan ini sebenarnya menunjukkan sikap tidak endah dalam kalangan segelintir umat Islam yang kurang peka dengan keadaan semasa.
Isu mempamerkan logo halal adalah perkara yang wajib kepada setiap premis makanan. Sebenarnya, pengusaha premis makanan boleh mendapatkan keyakinan pengguna dengan memohon logo serta sijil halal. Malah, mereka seharusnya komited dan bertanggungjawab bagi memastikan setiap aspek mengikut keperluan yang ditetapkan JAKIM.
Kita berada di negara yang bersistematik dan berperlembagaan. Rakyat Malaysia bertuah kerana institusi JAKIM mengambil serius isu berkaitan halal, tidak kira dari segi bahan mentah mahupun peralatan digunakan, malah pusat penyembelihan juga perlu mengikut spesifikasi ditetapkan. Hal ini berdasarkan sifat kebertanggungjawaban, apatah lagi apa yang kita makan akan menjadi faktor keberkatan hidup.
Semak di portal Halal JAKIM
Sebenarnya, sangat mudah untuk mengetahui sama ada sesebuah jenama itu halal atau tidak. Ia hanya memerlukan masa yang sedikit untuk membuat semakan di portal Halal JAKIM. Semakan sebegitu penting kerana ada sesetengah syarikat sudah ditarik sijil halal atau luput tarikh.
Walaupun kita tinggal di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, ia bukan lesen untuk memandang ringan isu halal. Sebaliknya kita perlu cakna dengan -isu semasa kerana mencari yang halal itu fardu kifayah. Secara tidak langsung kita juga sebenarnya turut membantu pembangunan ekonomi halal di Malaysia. Tidak dinafikan, terdapat juga rakyat bukan Islam memilih produk halal kerana mereka berasakan produk sebegitu lebih selamat, suci dan terjamin berkualiti.
Bagi pemilik atau pengelola premis makanan, mereka perlu jelas bahawa sijil halal bukan semata-mata sehelai kertas, tetapi sebaliknya simbol dalam menjaga keharmonian keselamatan diri dan masyarakat. Usaha menanam kesedaran betapa penting amalan kebersihan perlu diamalkan oleh seluruh genap lapisan masyarakat demi menjamin kesejahteraan dan kesihatan sejagat.- Berita Harian
Fatimah Zakiah Shaharuddin, Pensyarah, Universiti Sultan Azlan Shah
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM