BEIJING – Lebih tiga juta etnik Uyghur ditahan di kem-kem tahanan, manakala beberapa juta lagi diperlakukan sebagai hamba di kilang di seluruh China.
Pengasas dan Pengarah Eksekutif Kempen untuk Uyghur, Rushan Abbas berkata, jumlah itu membuktikan rejim China menghalalkan sistem penghambaan pada zaman moden ini.
Beliau berkata, pihaknya kesal apabila perniagaan kapas dunia terbabit dengan pembunuhan beramai-ramai etnik Uyghur, sambil menyifatkan setiap helaian baju yang terhasil kebanyakannya berasal dari darah, keringat, air mata dan kematian etnik Uyghur.
“September tahun ini menandakan dua tahun penculikan adik saya, Dr. Gulshan Abbas oleh pemerintah China. Dia diculik disebabkan aktiviti saya di Amerika Syarikat (AS).
“Ianya menyakitkan hati saya apabila seorang doktor perubatan dikerah menjadi buruh untuk menghasilkan produk-produk (kapas dan pakaian) untuk syarikat terkenal di dunia,” katanya.
Beliau berkata, pemerintah AS dan masyarakat antarabangsa perlu sedia maklum bahawa sokongan kepada Sukan Olimpik 2022 adalah lebih sekadar menjadi penonton kepada pembunuhan beramai-ramai di China.
Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa syarikat global akan menarik diri daripada menaja Beijing 2022.
“Maruah masyarakat antarabangsa sedang diuji. China adalah negara terakhir di dunia yang sesuai untuk meneruskan legasi Olimpik dan menjadi tuan rumah permainan antarabangsa,” tulis Abbas dalam laporan khas untuk Asian Lite International yang berpusat di United Kingdom (UK).
Pada masa sama, Rushan berkata, etnik Uyghur di Xinjiang dianggap sebagai haiwan marmot apabila rejim China menguji mereka dengan ubat dan vaksin dalam sesuatu rawatan.
Dakwanya, antara kekejaman lain yang dilakukan oleh rejim China termasuk melancarkan perang tanpa henti terhadap agama, mengharamkan laungan azan, melarang ibadah puasa pada bulan Ramadan, melarang penggunaan nama Islam untuk kanak-kanak serta menulis semula al-Quran mengikut fahaman mereka dan berbeza dengan maksud asal.
Bahkan, katanya, etnik Uyghur juga dipaksa untuk minum arak dan makan daging khinzir sebagai pengesahan bahawa mereka tidak beragama.
“Masjid-masjid telah diubah menjadi bar, restoran dan pusat karaoke. Kaum wanita mengalami penderaan seksual apabila dipaksa untuk tinggal dan tidur bersama dengan anggota tentera China ketika suami mereka berada di kem tahanan.
“Ramai yang terpaksa berkahwin dengan lelaki China Han. Ini umpama pemerkosaan besar-besaran yang disokong rejim China.
“Dan paling mengerikan, kaum wanita dipaksa melakukan pengguguran janin dan dimandulkan. Ini juga adalah pembunuhan beramai-ramai,” katanya. -Agensi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)