Wahai Ashab Al-Kahfi, kalian mengajar kami setiap minggu tetapi kami gagal memahaminya!

12316413_1183171451696949_9114604540140602371_n

 

Setiap hari Jumaat ramai yang akan berkongsi di media sosial pesanan dan peringatan sesama umat Islam agar jangan lupa membaca Al-Kahfi. Kebiasaannya yang menjadi pendorong dan motivasi kebanyakan umat Islam menghabiskan bacaan surah tersebut pada hari Jumaat ialah kelebihan dan keistimewaannya seperti yang disebut dalam hadis Rasul s.a.w.

Tetapi Al-Quran bukan sekadar untuk diambil berkat dan menjadi pembasah lidah, meskipun itu suatu yang baik. Al-Quran adalah untuk direnungi dengan mendalam, difahami dengan tekun, dan diterjemahkan ke dalam amalan dengan penuh kesungguhan.

* * *
Ashab Al-Kahfi adalah sekelompok pemuda beriman yang menjadi pilihan Allah s.w.t untuk menjadi guru kepada umat manusia sepanjang zaman. Kisah mereka dirakamkan di dalam wahyu yang terjamin dipelihara sehinggalah bumi ini tiba ke penghujungnya.

Pelajaran paling utama yang diajarkan oleh mereka kepada umat manusia ialah pelajaran penting tentang aqidah.

Ashab Al-Kahfi mengajarkan kepada umat manusia bahawa aqidah tauhid adalah nyawa, aqidah tauhid adalah jiwa raga, aqidah tauhid adalah harta paling bernilai bagi orang-orang yang benar-benar beriman.

Apabila mereka disuakan peluang untuk bebas daripada cengkaman raja yang zalim yang meminta mereka menggadaikan aqidah tauhid mereka, mereka tidak sedikitpun berkompromi.

Boleh sahaja mereka melafazkan beberapa kata-kata ‘cair’ untuk mengelakkan diri mereka diancam dan diburu. Jika mereka berbuat demikian, pasti mereka akan terus dibiarkan bebas ke sana-sini.

Bukankah itu lebih baik? Mereka boleh berdakwah kemudiannya tanpa perlu rasa takut diburu oleh raja yang telah selesai tawar-menawar dengan mereka. Mereka boleh wujud dalam masyarakat, tidak perlu bersembunyi di dalam gua.

Ashab Al-Kahfi mengajarkan kepada manusia nilai aqidah tauhid yang sejati. Aqidah tauhid yang sejati tidak boleh ditawar-tawar walau sedikit. Aqidah tauhid yang sejati tidak boleh dicair-cairkan. Mereka lebih rela mengorbankan kewujudan dan kehidupan berbanding mengorbankan kesejatian aqidah tauhid mereka.

Lalu mereka berdiri tegak di hadapan raja seraya berkata; “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi. Kami tidak akan sekali-kali mengambil Tuhan selain-Nya!”. Mereka menunjuk tanpa sedikit ketakutan pun kepada orang yang kufur lalu berkata; “Itu dia kaum kami yang mengambil Tuhan selain daripada Allah, apakah mereka memiliki bukti untuk itu? Siapa lagi yang lebih zalim daripada orang yang melakukan dusta kepada Allah?!”

Kata-kata mereka itu tinggi bayarannya. Tiga ratus tahun lebih mereka terpaksa hidup di dalam gua, lenyap dari pandangan masyarakat seluruhnya.

Namun adakah mereka benar-benar lenyap dan ‘mati’ di sisi masyarakat?

Tidak.

Aqidah tauhid yang mereka tegakkan dalam hati dan hujah mereka rupa-rupanya menjadi ganti kepada jasad mereka di dalam masyarakat.

Aqidah Ashab Al-Kahfi sedang hidup subur dalam masyarakat ketika mereka tidur dan ‘terpenjara’ di dalam gua!

* * *
Rupa-rupanya setiap Jumaat Ashab Al-Kahfi muncul di hadapan wajah kita untuk mengajarkan kepada kita suatu hakikat penting;

Bahawa mempertahankan aqidah tauhid yang sejati adalah makna dan nilai sebenar kepada kehidupan dan kewujudan.

Apa ertinya wujud di tengah-tengah masyarakat jika bayarannya ialah berkompromi dengan aqidah sendiri?

Apa ertinya hidup tanpa ancaman jika bayarannya ialah mencairkan perjuangan menegakkan aqidah tauhid?

Tiada erti, tiada nilai.

* * *
Pada hari ini atas nama strategi dan fasa, manusia menggadaikan dan mencairkan sedikit demi sedikit perjuangannya menegakkan aqidah tauhid di muka bumi.

Ketahuilah jika ancaman yang dielak; ancaman itu tetap akan tiba suatu hari nanti kerana itulah sunnah yang dilalui semua anbiya’.

Ketahuilah jika maut yang dielak; maut itu tetap akan tiba meskipun kita sedang duduk selesa di atas sofa atau sedang baring di atas tilam yang empuk.

Dan ketahuilah, jika atas nama dakwah pencairan dan penggadaian itu dilakukan, sesungguhnya kita sendiri telah menjadi musuh baru kepada aqidah tauhid yang seharusnya kita sampaikan di dalam dakwah kita!

* * *
Wahai Tuhan kami, turunkanlah rahmat-Mu ke atas kami, teguhkanlah iman kami, kukuhkanlah langkah kami, dan berilah kami petunjuk-petunjuk sentiasa di atas jalan yang menduga ini.

Ustaz Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
CEO IRIS Institute

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts