اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.” (al-‘Alaq: 1)
Umum mengetahui bahawa wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah ayat Iqra’ yang bermaksud seruan membaca. Ayat ini sentiasa menjadi dalil dan hujah kepentingan ilmu dan pencarian ilmu, lebih-lebih lagi apabila ia merupakan wahyu pertama.
Namun kita perlu memerhatikan ayat ini dengan lebih teliti, Allah SWT telah mengikat seruan membaca itu dengan nama-Nya, dan sifat-Nya sebagai al-Khaliq (Maha Pencipta).
Maka segala pembacaan dan pencarian ilmu perlu berlaku dalam keadaan menyedari bahawa ia adalah proses seorang makhluk yang sedang mencari sesuatu milik Maha Pencipta.
Hakikatnya segala ilmu di dunia ini tidak kira apa bidang sekalipun adalah daripada-Nya dan wajib digunakan untuk pergi kepada-Nya. Semua cabang ilmu selain keagamaan seperti sains dan selainnya tidak harus dipisahkan dari tauhid, bahkan segala ilmu itu sepatutnya adalah jalan menuju tauhid.
Syed Qutb menerangkan dalam Fi Zilalil Quran:
“Ayat ini menjelaskan sumber pengajaran iaitu sumbernya adalah Allah. Dari Allah, manusia mengambil ilmu pengetahuan yang telah dan sedang diketahuinya. Dari Allah, manusia mengetahui segala rahsia alam yang dibuka kepadanya, mengetahui segala rahsia kehidupan dan rahsia-rahsia dirinya sendiri. Segala-galanya datang dari satu sumber, dan di sana tiada sumber yang lain dari Allah.”
Ayat Iqra’ telah memberitahu bahawa alam ini mempunyai pencipta, sekaligus menolak ateisme di saat wahyu pertama turun lagi. Seruan Iqra’ juga telah diingatkan supaya sentiasa diiringi dengan nama Allah, maka ia menafikan sekularisasi ilmu dalam apa jua bentuk sekalipun.
Wahyu pertama telah turun dengan menjelaskan tauhid adalah asas ilmu lalu menutup pintu ateisme serta sekularisme serapat-rapatnya.
Ustaz Ahmad Nu’man Mazlan
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)