Waktu-waktu untuk membayar zakat fitrah

Soalan:

Assalamualaikum SS Datuk, bilakah waktu yang sesuai untuk mengeluarkan zakat fitrah? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

Terdapat lima waktu dan hukum berbeza yang berkaitan dengan pembayaran zakat fitrah. Yang pertama adalah harus iaitu membayar zakat fitrah setelah masuknya bulan Ramadan. Waktu wajib pula ialah pada malam satu syawal dan afdal pula membayar pada pagi hari raya iaitu setelah terbitnya matahari sebelum menunaikan solat sunat aidilfitri. Manakala selepas selesai solat sunat Aidilfitri hukumnya adalah makruh sementara melewatkan pembayaran sehingga luput satu Syawal hukumnya adalah haram.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Sesungguhnya terdapat syarat-syarat yang mewajibkan seseorang itu mengeluarkan zakat fitrah dan di antaranya seseorang itu mestilah beragama Islam, mampu untuk mengeluarkan zakat fitrah dan masuknya waktu untuk mengeluarkan zakat. Rasulullah SAW telah bersabda melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ، صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam dengan satu gantang tamar, satu gantang tepung barli sama ada yang merdeka atau hamba sahaya, lelaki atau perempuan dalam kalangan umat Islam.

(Riwayat Muslim: 984)

Merujuk hadis di atas telah dinyatakan kewajipan zakat ke atas setiap umat Islam serta tempoh masa untuk mengeluarkan zakat berkenaan. Menurut Imam Nawawi, lafaz رمضان dalam hadis berkenaan adalah merujuk kepada waktu wajib iaitu setelah tenggelamnya matahari serta telah masuk permulaan malam pertama aidilfitiri.

Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa zakat fitrah ialah zakat yang terikat dengan tempoh dan waktunya. Justeru itu, terdapat hukum dan waktu untuk mengeluarkan zakat berkenaan iaitu:

Pertama: Waktu Harus

Di dalam mazhab Syafie, bermulanya waktu harus bagi umat Islam untuk mengeluarkan zakat fitrah ialah setalah masuknya 1 Ramadan sehingga berakhirnya bulan puasa. Ini merujuk kepada nukilan Ibn Hajar dalam kitabnya yang mana harus bagi pengeluar zakat kecuali pemerintah untuk mempercepatkan bayaran zakat fitrahnya setelah masuknya Ramadan walaupun pada malam pertama di bulan tersebut. Oleh itu, zakat yang dikeluarkan dalam tempoh tersebut dikira sah.

Kedua: Waktu Wajib

Waktu wajib untuk umat Islam membayar zakat fitrah pula ialah pada hari akhir Ramadan ketika waktu senja atau terbenamnya matahari pada hari berkenaan. Kewajipan ini merujuk kepada nukilan Sheikh ‘Abdullah Bafadhal dalam karyanya:

وَتجب زَكَاة الْفطر بِشُرُوط إِدْرَاك غرُوب الشَّمْس لَيْلَة الْعِيد

Maksudnya: Zakat fitrah diwajibkan dengan syarat melalui tenggelam matahari pada malam hari raya.”

(Rujuk al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah: 128)

Ketiga: Waktu Afdal

Waktu afdal ini ialah waktu pagi hari raya sebelum solat sunat hari raya ditunaikan yang mana sunat bagi umat Islam membayar pada waktu yang demikian.Hal ini kerana Rasulullah SAW sendiri mengeluarkan zakat sebelum baginda mengerjakan solat sunat aidilfitri seperti mana dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar R.A:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِزَكَاةِ الفِطْرِ قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Nabi SAW memerintahkan untuk membayar zakat fitrah sebelum orang ramai keluar untuk mengerjakan solat (hari raya).”

(Riwayat Bukhari: 1509)

Keempat: Waktu Makruh

Makruh bagi umat Islam mengeluarkan zakat setelah selesai solat sunat hari raya. Hal ini kerana waktu yang disunatkan adalah waktu sebelum solat sunat aidilfitri didirikan. Menurut Ibn Hajar al-Haitami bahawa sunat hukum mengeluarkan zakat sebelum solat sunat hari raya, maka sunat juga tidak melewatkan bayaran zakat selepas daripada solat berkenaan kerana jika dilewatkan hukumnya makruh.

 Waktu Haram:

Haram mengeluarkan zakat fitrah ialah waktu setelah selesai terbenamnya matahari pada hari satu Syawal atau setelah luputnya hari pertama satu Syawal. Ini seperti mana yang telah dinyatakan oleh Sheikh Zakaria al-Ansari dalam karangannya:

(وَيَحْرُمُ تَأْخِيرُهَا عَنْ يَوْمِ الْعِيدِ) بِلَا عُذْرٍ كَغَيْبَةِ مَالِهِ أَوْ الْمُسْتَحِقِّينَ لِأَنَّ الْقَصْدَ إغْنَاؤُهُمْ عَنْ الطَّلَبِ فِيهِ (وَتَقْتَضِي وُجُوبًا فَوْرًا)

Maksudnya: “Haram melewatkan zakat selepas hari raya (aidilfitri) tanpa sebarang keuzuran seperti kehilangan hartanya atau hilang penerima zakat kerana zakat bertujuan untuk memenuhi tuntutan mereka. Wajib bagi orang yang melewatkan zakat itu menggantikannya serta-merta.”

Oleh itu, sesiapa yang sengaja melewatkan bayaran zakat fitrah pada waktu yang telah diwajibkan, hukumnya bukan sahaja haram malah wajib menggantikan zakat tersebut dengan serta merta.

Kesimpulan:

Terdapat lima waktu untuk membayar zakat fitrah yang mana harus bagi umat Islam membayar zakat tersebut setelah masuknya bulan Ramadan, waktu wajib pula ialah pada malam satu syawal dan afdal pula waktunya membayar pada pagi hari raya sebelum menunaikan solat sunat aidilfitri. Manakala selepas selesai solat sunat tersebut makruh pula hukumya dan melewatkan pembayaran sehingga luput satu Syawal adalah haram. Oleh itu, setiap individu muslim hendaklah peka dan cakna terhadap kelima-lima waktu ini supaya dapat menghindari diri kita dari lewat membayar zakat.

Wallahu A’lam..

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts