1. DALAM urusan penguatkuasaan undang-undang, Rasulullah amat menekankan tentang sikap adil. Biarpun yang melakukan kesalahan adalah orang ternama, Rasulullah bersikap adil dalam penghukuman. Inilah sikap yang mesti dicontohi oleh setiap Mukmin.
2. Pernah terjadi di zaman Rasulullah, seorang wanita daripada Bani Makhzum telah melakukan kesalahan mencuri. Namun, Bani Makhzum adalah antara kabilah yang mempunyai kedudukan dan pengaruh di sisi Qurasyh.
3. Tiada siapa yang berani untuk memaklumkan perkara ini kepada Rasulullah kerana menjaga kedudukan kumpulan manusia yang mempunyai kedudukan ini. Quraysh mengambil langkah berjaga-jaga. Mereka menggunakan pendekatan memujuk dan berdiplomasi dengan Baginda Nabi agar melepaskan pihak yang melakukan kesalahan ini.
4. Reaksi Rasulullah sangat teguh. Rasulullah marah dengan sikap tidak adil sebegini lantas menegaskan: “Apakah kamu meminta syafaat (supaya dilindungi mereka yang melakukan kesalahan) berkenaan hukuman hudud ini? Sesungguhnya telah binasa umat sebelum kamu kerana apabila yang mencuri itu orang berpengaruh, kamu bebaskan. Dan apabila yang mencuri itu orang yang lemah (orang biasa) maka kamu kenakan hukuman hudud terhadap mereka.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
5. Perhatikan ketegasan sikap Baginda Nabi. Dari aspek penguatkuasaan Rasulullah tidak pernah bersikap pilih kasih. Baginda meneruskan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman ke atas mereka yang melakukan kesalahan tidak kirsa samada yang melakukan kesalahan tersebut orang yang mempunyai pangkat atau kedudukan.
6. Bersikap adil adalah prinsip paling utama dalam kepimpinan. Jangan kerana pihak kita melakukan kesilapan, kita segan untuk menegur. Malah pemimpin Muslim mestilah menjadi contoh dalam perkara yang melibatkan perundangan negara.
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)