Kecantikan adalah lumrah bagi seseorang wanita. Disebabkan kecantikan seseorang lelaki tertarik kepada wanita untuk menjadikannya isteri. Dengan kecantikan juga timbulnya pelbagai fitnah kepada wanita sehingga menjadi barah dalam kehidupan manusia.
Kehidupan manusia akhir zaman, khususnya wanita semakin lama semakin berubah sehingga ada yang mengetepikan syariat agama yang ditetapkan, bahkan lebih mengutamakan fesyen dan kecantikan yang ternyata keluar daripada adab serta tatasusila diterapkan Islam.
Ramai wanita di luar sana mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat sehingga menampakkan perhiasan, rambut dan bahagian yang sepatutnya ditutup. Perkara ini mula berkembang dengan pantas apabila portal pembelian dalam talian mengeluarkan pelbagai jenis fesyen terkini yang tampak jelas mutakhir ini.
Situasi ini dinyatakan oleh baginda SAW tentang perilaku wanita akhir zaman apabila melibatkan pemakaian mereka. Nabi SAW bersabda maksudnya: “Pada umatku yang akan datang ini, akan ada orang lelaki yang naik pelana kuda menyerupai pelana unta, lalu turun di pintu masjid. Wanita mereka berpakaian tetapi telanjang, rambut kepala mereka bagaikan bonggol unta yang tinggi. Laknatlah mereka kerana mereka ialah wanita terlaknat. Kalau di belakangmu (sesudahmu) nanti masih ada umat lain, nescaya wanita kamu akan melayani wanita mereka sebagaimana dahulu kamu dilayani oleh wanita bangsa sebelum kamu.” Hadis Riwayat Ahmad
Hadis ini jelas menunjukkan bagaimana keadaan wanita akhir zaman berpakaian sehingga setiap jenis fesyen yang dikenakan pasti akan menarik mata (lelaki) untuk melihatnya. Perkara ini dilihat menjadi trend terkini khususnya wanita yang berkerjaya apabila sanggup berbelanja sakan demi dilihat bergaya dan cantik di tempat kerja masing-masing. Jika fesyen yang dikenakan mengikut syariat Islam maka tiada apa yang ingin digusarkan. Islam tidak melarang umatnya untuk dilihat cantik, namun apabila melampaui batas, perkara ini ditegah oleh Nabi SAW.
Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Ada dua golongan ahli neraka yang belum aku lihat sekarang iaitu kaum yang membawa cemeti seperti ekor lembu untuk memukul manusia dan wanita yang berpakaian, tetapi telanjang yang berlenggang-lenggok serta condong rambutnya seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya padahal bau syurga itu dapat dicium dari perjalanan sejauh ini dan ini.” Hadis Riwayat Muslim
Berfesyen tidak salah, tapi yang salah adalah berfesyen pada tempat yang salah
Dr Yusuf al-Qardhawi dalam kitab al-halal wa al-haram fi al-Islam menjelaskan, wanita yang berpakaian, tetapi telanjang sebagaimana sabda Nabi SAW merujuk kepada pakaian yang dipakai wanita tidak berfungsi sebagai benteng bagi menutup keseluruhan aurat mereka. Antara ciri-ciri pakaian itu ialah nipis, ketat, singkat, menampakkan bahagian utama badan wanita dan sebagainya.
Ada pula pandangan yang mengatakan mereka yang mengenakan pakaian, tetapi telanjang bermaksud tudung yang dipakai hanya dililit pada leher sahaja dan pakaian yang dikenakan ketat sehingga menampak bentuk tubuh badan wanita berkenaan. Disebabkan kelakuan itu, golongan wanita ini akan mendapat seksaan pada akhirat kelak.
Nabi SAW menjelaskan beberapa sifat wanita antaranya berpakaian, tetapi telanjang, berlenggang-lenggok dan rambut umpama bonggol unta. Kenyataan Nabi SAW ini menggambarkan situasi yang sedang berlaku pada hari ini, seakan-akan baginda dapat melihat apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Pada hari ini, banyak tempat yang digunakan untuk menghias dan melakukan fesyen rambut dengan pelbagai gaya serta bentuk.
Ada sesetengah salun kecantikan yang bercampur lelaki dan wanita. Walaupun terdapat sekatan atau halangan yang dibuat, namun bagi pekerja lelaki, mereka masih boleh melihat rambut yang sememangnya aurat bagi wanita.
Tidak sekadar itu, ada wanita yang tidak berpuas hari dengan rambut kurniaan Allah SWT sehingga mereka berusaha untuk menyambung rambut (dinamakan sebagai ‘al-wasl’ dalam bahasa Arab) atau mengenakan rambut palsu bagi dilihat cantik oleh orang ramai khususnya lelaki. Al-wasilah ialah wanita yang menyambung rambut dengan rambut wanita lain agar rambutnya kelihatan panjang dan menyebabkan orang lain menyangka rambut al-wasl (sambungan) itu adalah rambut asal. Ia dilakukan oleh wanita yang rambut nipis atau wanita berambut perang yang menyambung rambutnya dengan rambut hitam. Ma’alim al-Sunan oleh al-Khattabi, 4/256
Larangan berkenaan adalah berdasarkan hadis daripada Asma’ binti Abi Bakr RA, bahawa seorang wanita datang menemui Rasulullah SAW lalu mengadu kepadanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai seorang anak perempuan yang baru menikah. Dia telah terkena penyakit cacar sehingga menyebabkan rambutnya keguguran. Bolehkah aku menyambung rambutnya (dengan rambut palsu)? Lalu baginda SAW bersabda maksudnya: “Allah melaknat al-washilah (orang yang menyambung rambut) dan al-mustaushilah (orang yang minta disambungkan rambutnya).” Hadis Riwayat Muslim, Hadis no: 5687
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, seorang gadis Ansar baru berkahwin. Dia jatuh sakit menyebabkan rambutnya banyak yang gugur. Keluarganya hendak menyambung rambut itu (dengan rambut palsu). Mereka kemudian bertanya kepada Rasulullah SAW lalu baginda bersabda maksudnya: Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan rambutnya. Hadis Riwayat al-Bukhari
Imam al-Nawawi berkata, hadis ini secara tegas menunjukkan haramnya menyambung rambut, dan laknat untuk wanita yang menyambung rambut atau pemakai yang disambungkan rambutnya secara mutlak.
Oleh itu, wanita perlu mengambil berat pemakaian mereka dan perlu membezakan pakaian yang mengikut syariat dengan pakaian yang boleh menimbulkan fitnah kepada mereka. Pada masa sama, wanita juga perlu berusaha untuk dilihat cantik di hadapan suami mereka berbanding bergaya di hadapan suami orang lain khususnya bagi mereka yang berkerjaya. Ini kerana itulah tujuan utama manusia dicipta lelaki dan wanita. Dalam situasi hari ini, ayuh sama-sama kita renungkan dan bermuhasabah diri dengan apa yang berlaku sekeliling, semoga kita berada dalam rahmat Allah SWT.
Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)