PUTRAJAYA: Golongan wanita negara ini, dilihat mempunyai potensi untuk menjadi penggerak perubahan ke arah kewangan Islam yang lebih meluas.
Ketua Penasihat Jabatan Perniagaan Syariah, Institut Kewangan dan Perbankan Islam Malaysia (IBFIM), Razli Ramli, berkata ini memandangkan wanita memiliki kelebihan sebagai pembuat keputusan di dalam rumah tangga.
Katanya, ditambah kesedaran mengenai kepentingan dan kelebihan kewangan Islam demi masa depan, ia menjadikan wanita peka dan bijak mengambil peluang untuk berubah menjadi yang terbaik.
“Ini boleh dibuktikan menerusi usahawan terutama di Kelantan, yang dimonopoli oleh wanita apabila mereka menggunakan produk kewangan Islam dalam menguruskan perniagaan masing-masing.
“Contohnya, mereka menggunakan perkhidmatan Ar Rahnu. Emas dijadikan sebagai cagaran bagi modal untuk menguruskan perniagaan berbanding melakukan pinjaman.
“Apabila mereka memperoleh keuntungan semula, emas boleh ditebus balik dengan kadar pembiayaan lebih murah. Secara tidak langsung sistem kewangan Islam diguna pakai dan seterusnya menjadi amalan,” katanya ketika ditemui pada Kempen Kesedaran Kewangan Islam, di sini, hari ini.
Razli berkata, ada 32 daripada 54 bank menawarkan produk patuh syariah, justeru ini adalah masa yang tepat untuk wanita memainkan peranan bagi memastikan kewangan Islam menjadi keutamaan dalam menjalankan apa-apa urusan.
“Pada masa kini nilai keseluruhan aset kewangan Islam hanyalah 30 peratus saja dan berharap menjelang tahun 2020 ia akan meningkat kepada 40 peratus menerusi peranan dimainkan golongan wanita ini.
“Kita juga berharap 30 peratus wanita dapat dicapai untuk menjadi pemimpin dalam bidang kewangan Islam pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah, Hidayah Sidi Ahmad, 29, berkata apabila wanita didedahkan dengan produk kewangan Islam, ia membuka mata mereka sedar akan kelebihan ditawarkan.
Katanya, banyak perbezaan antara konvensional dan Islamik, justeru terpulang kepada masing-masing untuk membuat pilihan terbaik sebagai umat Islam.
“Biarpun banyak persaingan, apabila anda mengetahui kelebihan dan kekurangan sesebuah sistem kewangan, anda pasti akan memilih untuk perlindungan sepenuhnya kepada diri dan keluarga,” katanya. – Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)