Wanita perlu berjuang pertahan keperibadian muslimah

 

SALAM Aidiladha

Dalam menghadapi kehidupan, wanita amat memerlukan kekuatan fizikal dan mental.

Apapun kekuatan mental adalah kekuatan pertama yang perlu ada kerana sepertimana kata Imam al Ghazali bahawa, jasad luaran adalah khadam ataupun alat yang digunakan oleh hati, sepertimana raja menggunakan rakyatnya.

Ini kerana hati adalah raja kepada anggota tubuh badan manusia.

Wanita perlu kuat jiwa dalam berjuang untuk mempertahankan keperibadian muslimahnya.

Mereka perlu cekal dan sabar dalam mengekalkan nilai-nilai Islam dalam diri, serta tidak terpengaruh dengan cubaan dan godaan yang menguji kekuatan iman dan akhlaknya.

Wanita perlu kuat jiwa dalam menjaga akidah dan pemikirannya dari terpengaruh dengan pelbagai ideologi moden, yang kononnya perjuangkan hak-hak kebebasan bagi wanita.

Kononnya wanita tidak terbela dengan Islam.

Wanita perlu kuat jiwa dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Perjuangan sebagai anak, isteri dan ibu menuntut wanita untuk mempunyai jiwa yang kental.

Contohilah kekuatan jiwa Saidatina Fatimah yang sejak awal usianya, hidup dalam penentangan kafir Quraisy terhadap bapanya.

Bahkan ketika berusia 6 tahun, ibunya pula wafat.

Disebabkan itu, Fatimah sentiasa berusaha menggantikan peranan ibunya sehingga beliau digelar ‘Ummu Abeeha’, yang bermaksud ‘ibu bagi ayahnya’ kerana kasih sayang yang dicurahkan kepada ayahandanya baginda Rasulullah SAW.

Contohilah kekuatan jiwa ummul mukminin Saidatina Khadijah, apabila bertindak sebagai isteri yang sentiasa menjadi penguat semangat kepada Rasulullah SAW.

Sehingga baginda SAW memujinya dengan bersabda: “Beliau beriman ketika orang lain mengingkariku. Beliau mempercayaiku ketika orang lain mendustakanku. Beliau membantuku dengan harta ketika orang tidak memberiku apa-apa,”

Contohilah kekuatan jiwa sahabat antaranya Khansa’, yang apabila mendengar kesyahidan keempat-empat anaknya beliau lantas berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah memuliakanku dengan syahidnya putera-puteraku. Semoga Allah segera memanggilku dan berkenan mempertemukanku dengan mereka dalam naungan rahmat-Nya yang luas.”

Bersempena Aidiladha ini, sama-samalah kita kuatkan jiwa kita.

Sama-sama kita pandang ke hadapan dengan pemikiran yang besar, jiwa yang kuat dan hati yang cekal.

Sama-sama kita hayati perjuangan Siti Hajar yang kuat dan cekal jiwanya menghadapi ujian pada diri dan anaknya Nabi Ibrahim dengan tawakal yang tinggi kepada Allah SWT.

Ustazah Dr Suriani Sudi
Ketua Wanita ISMA

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts