PADA 8 Februari lalu, Jawatankuasa Pilihan Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender, Parlimen Malaysia mengadakan mesyuarat pertama bagi membincangkan terma rujukan Jawatankuasa itu serta cadangan bagi rangka kerja 2019.
Ia disusuli mesyuarat pada 4 Mac depan bagi pembentangan taklimat ‘Ke Arah Pewujudan Akta Gangguan Seksual dan Akta Kesaksamaan Gender’ daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta ‘Isu-Isu Utama Dalam Laporan SUHAKAM’.
Walaupun inisiatif kerajaan untuk mendepani isu wanita seperti larangan berhijab, diskriminasi, keganasan dan gangguan seksual terhadap wanita wajar mendapat pujian, pewujudan Akta Kesaksamaan Gender perlu diperhalusi supaya tidak bercanggah tatasusila dan norma tempatan.
Di bawah Akta Kesaksamaan di United Kingdom, undang-undang mengiktiraf golongan transgender dan yang memiliki orientasi seks seperti homoseksual dan biseksual. Mereka dikategorikan sebagai karakter terlindung.
Di Amerika Syarikat pula Akta Kesaksamaan sedang digubal juga untuk mengiktiraf orientasi seks dan identiti jantina.
Ini bermakna, undang-undang kesaksamaan gender secara umumnya bertujuan memberi perlindungan dan pengiktirafan kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada sebarang bentuk diskriminasi, sama ada secara langsung atau tidak berdasarkan orientasi seks atau identiti jantina mereka.
Desakan undang kegusaran
Desakan segelintir kumpulan hak asasi wanita dan aktivis liberal berhubung Akta Kesaksamaan Gender menimbulkan kegusaran. Joint Action Group for Gender Equality (JAG) tahun lalu mengemukakan draf undang-undang mengenai diskriminasi kepada KPWKM yang antara lain bertujuan melindungi golongan LGBT di Malaysia.
Pada 24 Januari lalu, JAG bersama Women’s Aid Organisation (WAO) melancarkan laporan mengenai hak asasi wanita dari sudut pematuhan terhadap Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).
Laporan turut membangkitkan dakwaan diskriminasi dan penindasan terhadap golongan LGBT, khususnya wanita transgender oleh jabatan agama. Penggubalan akta berkenaan gender berkemungkinan mengakibatkan beberapa peruntukan undang-undang Persekutuan dan negeri terbatal atau bercanggah.
Antaranya Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan menjalin hubungan seks luar tabii seperti liwat dan seks oral.
Akta berkenaan juga berupaya membatalkan Enakmen Jenayah Syariah di negeri yang memperuntukkan kesalahan lelaki berpakaian seperti atau menyerupai wanita dan kesalahan musahaqah. Ini berasaskan prinsip kedudukan undang-undang Persekutuan melangkaui undang-undang negeri.
Ambil kira sensitiviti, agama
Ia juga menggugat keabsahan fatwa dan institusi agama yang mengharamkan dan berusaha membendung amalan homoseksual serta pertukaran jantina dan organ seks.
Saban tahun seruan untuk memansuhkan undang-undang yang disifatkan mendiskriminasi pengamal LGBT sering dilaungkan badan bukan kerajaan (NGO) dan pendukung liberal, termasuk beberapa wakil rakyat dan pemimpin politik.
Apa juga alasan dilontarkan, tidak dinafikan undang-undang negara ini mengambil kira sensitiviti, norma, budaya dan agama masyarakat setempat. Islam diangkat sebagai agama bagi Persekutuan dan negeri, mempunyai bidang kuasa untuk membuat undang-undang mengenai kesalahan yang bercanggah dengan ajaran agama.
Namun, tindakan kumpulan hak asasi liberal membelakangkan pelbagai status quo semata-mata untuk merealisasikan agenda songsang mereka.
Akta pukal yang menyeludup masuk unsur liberalisme dan kebebasan mutlak di sebalik usaha membanteras diskriminasi terhadap wanita bukanlah penyelesaian munasabah.
Oleh itu, kerajaan harus waspada dan wakil rakyat yang menganggotai jawatankuasa pilihan, perlu memainkan peranan serta membuktikan komitmen mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tempatan daripada dirobek ideologi asing.
Kerajaan harus faham betapa CEDAW berperanan setakat memperkasakan undang-undang sedia ada dan ia hanya boleh diguna pakai selagi tidak mengakibatkan percanggahan seperti diputuskan oleh institusi kehakiman.
Danial Ariff Shaari
Ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)