Waspada sindrom mengilmiahkan pembohongan: Timbalan Mufti Perak

 

SESUNGGUHNYA ilmu sangat penting di dalam kehidupan di dunia. Ia juga penting dalam menentukan kesudahan kita di akhirat nanti. Orang beriman tidak patut hanya membataskan ilmu hanya untuk kepentingan dunia seperti mendapat kerjaya yang baik mahupun untuk mempertingkatkan status sosialnya di dalam masyarakat.

Fungsi ilmu adalah lebih luas daripada itu termasuklah salah satu yang sangat penting ialah mengelakkan kita terjerumus dan terjerat di dalam kekeliruan yang timbul. Al-Quran sebagai kitab panduan orang beriman dan kitab pemutus segala percanggahan juga dinamakan “al-furqaan” iaitu pembeza antara kebenaran dan kebatilan.

Kita wajib menyelamatkan diri kita, keluarga kita, masyarakat kita daripada kekeliruan-kekeliruan yang semakin berlapis-lapis sejak kebelakangan ini. Inilah cabaran hidup di zaman yang semakin jauh dari Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW dalam kitab sahih al-Bukhari menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bersabarlah kamu. Sesungguhnya tidak datang satu zaman kecuali zaman selepasnya adalah lebih buruk dari sebelumnya sehinggalah kamu menemui Tuhan kamu”. Ditambah lagi sikap kita terhadap pusaka baginda iaitu al-Quran dan hadith-hadith sahih pun jarang dihayati apatah lagi dipatuhi.

Keperluan menyelamatkan diri, masyarakat dan negara dari daripada kekeliruan menjadi satu tuntutan asasi akhir zaman ini kerana Rasulullah SAW sendiri telah memberi amaran kepada umatnya tentang betapa dahsyatnya fenomena yang berlaku dan kita sedang menyaksikannya pada hari ini. Ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun penuh dengan pendustaan yang mengelirukan. Pendusta dianggap jujur, orang yang jujur didustakan, amanah diserahkan kepada pengkhianat, orang yang jujur dikhianati dan Ruwaibidhah turut serta berbicara. Lalu ditanya: Siapakah Ruwaibidhah itu? Baginda SAW menjawab: Orang-orang yang tidak layak dan kompeten diamanahkan mengurus urusan awam” (Hadith Sahih riwayat Ibnu Majah).

Ini satu gambaran fenomena yang berlaku pada akhir zaman, dan kita sudah mula merasainya apabila sistem nilai sudah porak peranda. Sistem yang menilai dan memaknakan apa itu benar, bohong, khianat, jujur sudah tidak lagi dirujuk kepada piawai langit iaitu al-Quran dan hadith-hadith sahih sebaliknya nilai-nilai itu disesuaikan dengan penuh nafsu serakah sejajar kepentingan kelompok, kumpulan, parti dan kepentingan diri. Apabila masyarakat sudah terbiasa dengan nilai-nilai yang bukan dirujuk kepada nilai langit maka apabila mereka memilih pemimpin maka terpilih lah mereka yang tidak layak, tidak kompeten, bukan berkeahlian mengurus masyarakat dan negara.

Bahkan yang terlebih dahsyat kemunculan ilmuan-ilmuan yang tidak takut kepada Allah, tidak amanah kepada ilmu menjatuhkan maruah masing-masing memberikan justifakasi terhadap pembohongan dan kekeliruan yang terbukti tersasar dari fakta dan kebenaran atau yang diistilahkan sebagai “mengilmiah pembohongan”.

Al-Quran hanya membantu orang-orang yang benar-benar takut kepada Allah, tidak sanggup melakukan pembohongan untuk mampu membezakan antara tulin dan palsu, antara bohong dan benar. Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.” (QS al Anfaal: 29)

Kita yang beriman wajib berhati-hati apabila berhadapan dengan lambakan dan timbunan kekeliruan yang kita hadapi sepanjang hari. Hati-hati dengan slogan-slogan yang menarik, iklan-iklan yang menggiurkan, janji-janji untuk meraih bulan dan bintang, senarai panjang sijil dan kelulusan.

Sahibus Samahah Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts