SHAH ALAM – Pemilihan surah Al-Insan yang diangkat bersama tema ‘Memanusiakan Manusia’ pada World #QuranHour Khamis ini bertepatan dengan situasi masa kini apabila sentuhan kemanusiaan kian hilang dalam diri masyarakat.
Felo Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Nik Roskiman Abdul Samad berkata, Surah Al-Insan perlu dihayati kerana rata-rata rutin harian masyarakat ketika ini umpama robot yang sekadar berinteraksi melalui medium teknologi sehingga mengetepikan amalan yang sepatutnya.
Menurutnya, keadaan itu telah lari daripada ajaran Islam yang sebenar yang mementingkan ‘human touch’ antara satu sama lain.
“Ambil contoh jika kita dengar khabar orang sakit atau meninggal dunia. Lazimnya kita membalas pesanan dalam group WhatsApp dengan ucapan ‘semoga cepat sembuh’, ‘moga dipermudahkan urusan’… kemudian habis di situ.
“Dalam Islam, jika orang sakit, kita perlu ziarah, jika ada kematian kita perlu solatkan jenazah.
“Kita tidak patut berpuas hati dengan sekadar ucapan. Jadi perlu kembali kepada ‘human touch’ kerana manusia ini adalah tentang hubungan yang ada roh.
“Dalam surah Al-Insan ini pun bercerita tentang bagaimana kejadian manusia,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.
Tambah beliau, penganjuran World #QuranHour dilihat sebagai satu-satunya usaha di negara ini demi mengangkat martabat al-Quran agar dijadikan amalan bukan sekadar dibaca, tetapi juga difahami dan amalkan.
Justeru, umat Islam perlu mengambil kesempatan meraikan kempen World #QuranHour lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan ini.
“Banyak cara untuk membudayakan al-Quran dalam kehidupan seharian. Pertamanya kita tidak boleh sekadar baca. Tapi kena faham dan amal.
“Letakkan al-Quran dekat dengan hati kita, letakkan di tempat yang mudah diakses.
“Perlu faham kelebihan dan keutamaan al-Quran. Sesungguhnya al-Quran akan datang kepada orang yang membaca al-Quran dan beri syafaat pada hari kiamat,” katanya.
Tambah beliau lagi, masyarakat juga diingatkan agar memilih dan menetapkan masa untuk al-Quran sebagaimana mengatur rutin harian lain.
“Dahulukan dengan istighfar dan zikir, mohon keampunan ALLAH SWT dan minta dimudahkan hati untuk baca al-Quran.
“Boleh jadikan amalan membaca al-Quran selepas solat Subuh pada hujung minggu misalkan. Kena ada disiplin,” katanya.
Pada masa sama beliau menyarankan agar pendekatan kempen World #QuranHour diperluas kepada masyarakat bukan beragama Islam khususnya dalam memberikan fahaman melibatkan ayat-ayat al-Quran yang mencetuskan salah faham agama lain. – Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM